Malaysia Berita

Peraturan Aksi Terakhir Kumpulan Perlu Berlangsung Serentak – Stuart Ramalingam

Aksi Malaysia menentang Jepun dalam kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun terpaksa ditunda pada pagi esok, jam 11 pagi. Ini berikutan perlawanan di antara Thailand dan Tajikistan terpaksa ditunda berikutan hujan lebat dan kilat.

Sebelum itu, perlawanan tersebut terpaksa ditunda sebanyak 2 kali iaitu pada pukul 5 petang dan juga 5.30 petang. Peraturan AFC menetapkan bahawa kedua-dua perlawanan terakhir kumpulan haruslah berlangsung serentak.

“…pada jam 5.30 petang, keadaan cuaca tidak banyak berubah iaitu masih hujan dan kilat, sekali gus perlawanan di UM Arena itu masih tidak dapat dimulakan.” katanya dalam satu posting di Facebok FAM.

Keputusan itu dibuat oleh Pegawai Pertandingan AFC, untuk melangsungkan perlawanan pada jam 11 pagi kerana terdapat perlawanan yang perlu diadakan pada petang dan juga malam esok.

“Pegawai Pertandingan AFC mengambil keputusan menangguhkan kedua-dua perlawanan hari ini untuk dilangsungkan serentak jam 11.00 pagi esok memandangkan terdapat dua perlawanan terakhir Kumpulan B akan berlangsung serentak jam 4.30 petang esok dan dua perlawanan terakhir Kumpulan C berlangsung serentak jam 8.45 malam esok.” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau juga memaklumkan bahawa kemasukan penonton bagi perlawanan esok adalah percuma.