Piala Malaysia Berita

Saya berpuas hati seri, jika tewas pasti lebih sukar – Dollah Salleh

Terikat 1-1 dalam pertembungan suku akhir pertama Piala Malaysia 2018 sedikit sebanyak melegakan pengendali Pahang, Dollah Salleh.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Gonzalo Cabrera.

Pahang terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan untuk menjaringkan gol penyamaan seterusnya membawa bekalan untuk aksi kedua pada 29 September hadapan.

Mengulas mengenai permainan anak buahnya, Dollah Salleh menyifatkan gol awal yang dilepaskan mereka merupakan kesilapan yang dikenalpasti dalam perlawanan tersebut.

Namun begitu, beliau berasa lega kerana Safuwan Baharudin berjaya menghadiahkan satu gol buat Pahang dan menjadi bekalan untuk perlawanan di Larkin nanti.

“Kesilapan kita adalah melepaskan gol awal pada minit ke-46 perlawanan dan perlu memperbetulkan beberapa kesilapan sebelum bertandang ke Larkin.”

“Saya berpuas hati walaupun seri, jika tewas pasti menyukarkan kita berdepan JDT di Larkin 29 September ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan.

Walaupun mencatat keputusan seri, perlawanan seterusnya di Larkin tampak sukar buat Pahang kerana JDT telah pun mempunyai gol ditempat lawan dan kelebihan bermain di stadium keramat mereka.

Namun begitu, pada April lalu Pahang berjaya menunjukkan JDT jalan keluar daripada saingan Piala FA 2018 setelah menewaskan mereka 3-0 di Stadium Larkin.