Malaysia Berita

Memang saya tidak sengaja…- Luqman Hakim

Aksi kedua Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun yang menemukan Thailand dan Malaysia berakhir dengan skuad negara jiran itu menang 4-2 ke atas Malaysia.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang sensasi, Luqman Hakim telah dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain lawan pada separuh masa kedua.

Beliau yang dilihat menangis ketika berjalan keluar meninggalkan padang menjelaskan bahawa situasi tersebut dilakukan tanpa sengaja dan berasa sedih kerana memaksa rakan sepasukan beraksi dengan 10 pemain

“Saya sedih kerana tidak dapat membantu pasukan. Memang saya tidak sengaja kerana ketika insiden itu saya melihat kepada bola dan tidak nampak pemain Thailand datang dari arah depan.”

“Saya pun ingin memohon maaf kepada jurulatih (Lim Teong Kim) dan rakan sepasukan. Saya yakin kalau bermain dengan 11 pemain, kami mampu meraih keputusan lebih positif,” katanya.

Ketiadaan beliau didalam padang menyaksikan Thailand berjaya menemui jaring sebanyak dua kali dalam masa 25 minit. Dan skuad remaja negara perlu memastikan kemenangan ke atas Jepun untuk menghidupkan peluang mara ke saingan kalah mati.

Kad merah tersebut juga menyebabkan beliau tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir menentang Jepun. Walaubagaimanapun, beliau yakin dengan rakan sepasukan yang lain yang tidak kurang hebatnya dan mampu untuk menewaskan Jepun.

“Saya kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan untuk berdepan Jepun. Tapi kami mempunyai ramai pemain terbaik dan saya yakin rakan sepasukan mampu untuk menewaskan Jepun,” katanya.