Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memberi jaminan akan menyediakan tahap keselamatan yang maksimum terhadap Malaysia bawah 23 (B-23) tahun negara bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2018 bulan depan.
Jaminan itu diberikan sendiri oleh Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria yang menjelaskan kawalan ketat bukan sahaja untuk pasukan kebangsaan tetapi juga buat semua pasukan yang bertanding pada temasya berkenaan.
“Banyak sejarah berkenaan Indonesia dan Malaysia, sudah pasti kami akan melindungi pemain 100 peratus.
“Pada Piala AFF Suzuki 2010, kami menyediakan kawalan ketat yang membabitkan polis dan tentera, jadi kami akan lakukan perkara sama pada Sukan Asia nanti.
“Kami akan melihat dari pelbagai sudut dalam memastikan kawalan keselamatan terbaik dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), di sini, hari ini.
Jaminan itu dibuat selepas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi meminta PSSI memberi jaminan keselamatan terbaik buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas berlakunya insiden keganasan penyokong Indonesia dalam Kejohanan AFF B-19 di Surabaya pada 12 Julai yang lalu.
Dalam pada itu, Ratu menjelaskan, adalah sukar untuk pihaknya mengawal emosi penyokong yang sudah lama dahagakan kejayaan dalam arena bola sepak negara.
“Ia bukan saja mengenai Indonesia dan Malaysia sahaja, Indonesia sendiri berdepan konflik yang lama dalam bola sepak termasuk penggantungan daripada FIFA.
“Walaupun hanya aksi pemain muda, mereka sangat dahagakan kemenangan dan ia bukan sahaja apabila berdepan Malaysia,” katanya.