Malaysia Berita

FAM cari jalan selesaikan isu jadual liga-Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu, Stuart Ramalingam mendedahkan beliau diberi mandat membantu merealisasikan perubahan yang dirancang presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam tempoh tiga tahun mencari jalan penyelesaian kepada masalah seperti jadual liga dan pelepasan pemain bagi tugasan kebangsaan.

Katanya, antara tugas utamanya adalah menjadikan manifesto Hamidin satu kenyataan dalam usaha membangkitkan prestasi pasukan negara, kewangan dan juga FAM sebagai satu organisasi.

“Hari ini, petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan presiden FAM kepada saya adalah merealisasikan manifesto dan objektifnya dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Berdasarkan objektif ini, perjalanan dan pelan strategik FAM akan diumumkan beberapa bulan akan datang.

“Langkah ini sudah pun diserahkan kepada setiap jabatan teknikal, pentadbiran serta pengurusan,” katanya kepada Stadium Astro.

Stuart juga berdepan cabaran untuk mengatasi masalah melibatkan penyertaan pasukan negara dalam pelbagai lapisan peringkat umur kejohanan utama lagi-lagi apabila melibatkan kepentingan kelab dan negeri.

“Apa yang boleh kami buat ketika ini ialah dengan mencari jalan untuk mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak dan salah satunya, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyediakan jadual dan kalendar yang sesuai dengan kejohanan utama, bukan sahaja melibatkan pasukan B-19 atau B-16 sahaja, bahkan termasuk Sukan Asia.

“Malah, Kejohanan Piala AFF juga merupakan kejohanan utama.

“Daripada skuad B-23 sehinggalah pasukan kebangsaan, kami perlu mengadakan perbincangan untuk mencari ruang tersebut,” katanya.