Malaysia Berita

Tiga pemain KL dilepaskan untuk Sukan Asia 2018

Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee boleh menarik nafas lega selepas tiga lagi pemain pilihannya mendapat pelepasan untuk beraksi pada Sukan Asia 2018 di Jakarta bulan depan.

Tiga pemain tersebut adalah pemain Kuala Lumpur iaitu penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil dan dua pemain pertahanan, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik.

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel mengakui beliau tidak ada masalah untuk melepaskan tiga pemain muda itu meskipun terpaksa kehilangan khidmat mereka untuk aksi Piala Malaysia yang akan berlangsung pada tarikh yang sama.

“Mereka ada bertanyakan kepada saya sama ada boleh diberi pelepasan, jadi saya akan berjumpa dengan pengurusan untuk membincangkan mengenai perkara ini.

“Jika semua pasukan melepaskan pemainnya, sudah tentu kami juga perlu melakukan perkara yang sama. Namun saya juga perlu tahu sama ada semua pasukan dapat melepaskan pemain masing-masing.

“Apapun, saya tiada masalah kerana panggilan skuad kebangsaan perlu dijadikan keutamaan,” katanya kepada Berita Harian.

Selain Kuala Lumpur, dua pasukan sudah menyatakan kesediaan untuk melepaskan pemain masing-masing iaitu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal melepaskan lapan pemain termasuk seorang pemain JDT II manakala PKNS FC pula akan melepaskan dengan dua orang pemain.

Isu pelepasan pemain hangat diperkatakan selepas Ong Kim Swee sekali lagi berdepan masalah tersebut berikutan jadual perlawanan Sukan Asia bertembung dengan jadual kempen Piala Malaysia.