Penjaga gol England, Jordan Pickford telah banyak menyelamatkan percubaan yang jarang dilihat dan telah memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju England ke separuh akhir Piala Dunia kali ini, kata legenda penjaga gol Mexico, Jorge Campos.
Penjaga gol Everton, Pickford dipilih sebagai pemain nombor satu Three Lions untuk Piala Dunia 2018 dan setakat ini beliau telah memenangi hati pelbagai pihak yang menyaksikan persembahannya.
Namun, bekas penjaga gol Sunderland itu akan menghadapi malam yang lebih sibuk melawan Croatia di Moscow awal pagi ini yang mana England akan cuba untuk layak ke perlawanan akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak memenangi kejohanan tersebut pada tahun 1966.
Bagi Campos, yang membuat 130 penampilan untuk Mexico terutamanya di Piala Dunia 1994 dan 1998, cukup kagum dengan prestasi Pickford ketika ini.
“Bercakap mengenai penjaga gol terbaik ada beberapa pemain di Piala Dunia kali ini, seperti seorang pemain dari England (Pickford),” katanya kepada pemberita.
“Beliau membuat beberapa halangan yang jarang dilihat dan pemain seperti inilah yang membolehkan sesebuah pasukan untuk mara dalam kejohanan.
“Beberapa pemain lain juga melakukannya dengan baik pada suku akhir. Saya melihat perlawanan Belgium melawan Brazil dan bola yang diselamatkan penjaga gawang Thibaut Courtois pada saat-saat terakhir.
“Tidak ketinggalan, penjaga gol Perancis, Hugo Lloris juga beraksi dengan cemerlang,” katanya.