Piala Dunia 2018 Berita

Dr. Pippa Grange, individu di sebalik tabir kejayaan England ke separuh akhir

Selepas 28 tahun menunggu, akhirnya England berjaya mara ke separuh akhir dan kini mengintai ke perlawanan akhir.

Ketika ramai pemerhati dan penyokong bolasepak melihat kehebatan pemain seperti Harry Kane, Jordan Pickford, Harry Maguire dan juga kehebatan taktikal Gareth Southgate, ada seorang lagi invididu yang sebenarnya juga memainkan peranan penting kepada skuad England.

Dr Pippa Grange, pakar psikologi untuk skuad England juga sebenarnya merupakan individu yang memainkan peranan penting kepada skuad Three Lions.

Dr. Grange menyertai Persatuan Bolasepak England (FA) pada November tahun lalu sebagai Pengarah Pembangunan Individu dan Pasukan. Selepas dilantik, dia ditugaskan untuk mempertingkat suasana dan pemikiran pasukan England untuk menguatkan ketahanan psikologi supaya boleh bertahan dalam perlawanan penting, satu perkara yang sangat lemah sebelum ini.

Keputusan Gareth Southgate untuk memebawa Dr. Pippa nampaknya membuahkan hasil setakat ini dengan kita dapat lihat bagaimana pasukannya mampu beraksi walaupun berdepan tekanan yang tinggi. Yang paling ketara adalah ketika mereka menang menerusi penentuan sepakan penalti ketika menentang Colombia di pusingan kedua, walaupun kita sedia maklum sejarah hitam skuad England dengan penentuan sepakan penalti.

Kepentingan D. Grange ini turut diiktiraf oleh pemain-pemain skuad England sendiri. Beberapa pemain seperti pemain tengah Dele Alli menyatakan kepentingannya seperti dilaporkan oleh Daily Mail: “Dia telah melakukan banyak kerja dengan kami, dia seorang yang hebat. Anda boleh melihat betapa dia berkerja keras dan dia tahu apa yang dikatakannya, dia telah banyak membantu kami.

“Dia telah melakukan banyak perkara dengan kami, berjumpa kami. Semua orang memberi perhatian apabila dia bercakap.”

Perkara yang sama turut dikongsi oleh Ashley Young: “Sudah tentu, pakar psikologi ada untuk semua pemain dan sentiasa ada jika diperlukan.

“Setiap pemain bercakap dengannya dengan cara berbeza. Dia telah melakukan tugas dengan hebat sepanjang bersama pasukan. Ianya adalah pilihan peribadi. Sudah tentu aspek mental adalah penting, tetapi kami sudah memilikinya sejak kami berada di sini. Jurulatih kecergasan sangat hebat dan pakar psikologi juga banyak membantu.”

Kehadiran seorang pakar psikologi memang bagus untuk membantu pasukan. Tidak mustahil untuk England mengatasi masalah halangan mental mereka dan berjaya ke perlawanan akhir. Mungkin Malaysia juga memerlukan pakar psikologi untuk membantu kita mara ke Piala Dunia suatu hari nanti.