Luar Negara Piala Dunia 2018

Neymar suka jadi protagonis, kata Layun

Pemain Mexico, Miguel Layun menyelar sikap bintang Brazil, Neymar yang lebih gemar menjadi seorang protagonis filem daripada menjadi seorang pemain bola sepak.

Brazil layak ke suku akhir Piala Dunia 2018 selepas menang 2-0 ke atas Mexico malam tadi, menjadikan pasukan benua Amerika Utara itu terkandas pada pusingan 16 terakhir buat kali ketujuh berturut-turut.

Neymar membuktikan kemampuannya sebagai sandaran utama dengan meledak gol pertama dan mencipta gerakan untuk jaringan kedua menerusi Roberto Firmino, namun kehebatannya itu langsung tidak mempesonakan Layun, yang dituduh sengaja memijak pergelangan kaki Neymar ketika itu.

Neymar pula memberikan reaksi dramatik, berguling-guling sebelum menerima rawatan dan kembali menyambung permainan.

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio juga bersikap kritikal terhadap Neymar.

Bagi Layun, beliau percaya ia adalah memalukan apabila pemain berbakat itu membenarkan aspek yang kurang baik sebagai eleman dalam permainannya.

“Kami kenal Neymar dan beliau suka menjadi protagonis dalam dan di luar padang,” kata Layun.

“Sesiapa sahaja yang menonton perlawanan ini tahu apa yang saya maksudkan. Beliau seperti itulah, keperibadiannya memang begitu. Biar sahajalah dan semoga berjaya.

“Saya fikir beliau seorang pemain berbakat besar dan pada suatu hari nanti diharapkan dapat menumpukan kepada aspek permainan sahaja.

“Sebenarnya, beliau akan menjadi lebih hebat jika lebih mendedikasikan dirinya untuk bermain bola sepak daripada melakukan perkara-perkara lain. Saya fikir itulah yang terpenting.

“Mungkin beliau berasa agak bimbang dan itulah caranya menyingkirkan tekanan yang ada,” tambahnya.

Biarpun gagal menamatkan badi pusingan kedua, Layun tetap berbangga dengan kempen Mexico dalam edisi Piala Dunia kali ini.

“Impian pasukan secara keseluruhannya sudah berakhir dan saya sudah merasakannya, begitu juga dengan negara kami,” katanya.

“Kami tidak boleh menikmati Piala Dunia lagi.

“Apapun, saya masih bangga, saya gembira dengan tugas yang telah kami lakukan hasil sokongan rakyat yang tidak pernah jemu dan turut berada di mana-mana stadium yang membabitkan aksi kami.

“Mereka telah melihat komitmen yang kami berikan untuk cuba mencapai matlamat,” katanya.