Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Jepun hampir cipta sejarah, Chadli selamatkan Belgium

Sayang seribu kali sayang.

Jepun sedang melihat slot ke suku akhir tapi kesilapan sendiri mengundang padah. Jaringan Haraguchi dan Inui memberikan kelebihan dua gol kepada Jepun.

Namun, kesilapan Kawashima yang gagal menjangka tandukan Vertonghen dan tandukan Fellaini menyamakan kedudukan kepada Belgium.

Ketika perlawanan menuju ke masa tambahan, serangan balas pantas Belgium daripada sepakan penjuru Jepun disudahkan oleh Nacer Chadli untuk mengakhiri penyertaan pasukan Asia di Piala Dunia. Ini merupakan analisis bagi perlawanan ini.

 

Tugas sukar untuk Osako dan bebola jiwa daripada Asia

Selepas merehatkan ramai pemain dalam perlawanan terakhir menentang Poland, Jepun kembali menyenaraikan barisan pemain utama mereka. Jepun mengekalkan formasi 4-2-3-1 yang telah banyak membantu mereka. Taktikal mereka mungkin tidak banyak perbezaan, cuma mampukah mereka menembusi trio Alderweireld, Kompany dan Vertonghen dengan hanya Yuya Osako? Jawapannya ya. Jepun mempunyai kelebihan di bahagian midfield. Kagawa, Shibasaki, Inui, Haraguchi dan Hasebe akan sentiasa membantu. Satu perkara yang perlu dipuji oleh Jepun adalah mereka mampu membuka ruang dengan hantaran-hantara pendek. Osako biarpun tidak sebesar Lukaku, tetapi lebih baik sentuhan pertamanya dan melindungi bola. Dia sentiasa dapat menarik rakan-rakannya untuk menyerang. Tetapi pemain paling penting adalah Kagawa. Dia seakan-akan mempunyai mata ketiga untuk membuat hantaran yang mampu membuka ruang.

Trio serangan menggerunkan dan konduktor orkestra

Belgium benar-benar serius dalam perlawanan ini. Dalam Piala Dunia kali ini, mungkin Belgium mempunyai trio serangan yang paling menggerunkan. Lukaku, seorang penyerang yang gagah, laju dan mempunyai penyudah yang baik, Hazard yang lincah dan Dries Mertens yang pintar mencari ruang untuk menjaringkan gol. Dengan De Bruyne menjadi konduktor kepada orkestra ini, Jepun perlu menekannya untuk mematikan muzik Belgium. Witsel perlu fokus kepada tugasan bertahan untuk membenarkan De Bruyne dan trio serangan fokus merobek gawang Jepun.

Hasebe di mana-mana dan lubuk Belgium

Dalam setiap perlawanan, Hasebe memberikan segalanya untuk Jepun. Tidak terkecuali dalam perlawanan ini. Dia menjadi sebahagian daripada pertahanan ketika diserang dan menjadi penghubung kepada barisan tengah ketika menyerang. Kerja keras dan kepintarannya membaca hantaran sangat penting untuk Jepun. Dari segi menyerang, Jepun tahu di mana lubuk Belgium. Carrasco dan Meunier bukan bek sayap sejati. Jepun tahu mereka akan banyak menyerang dan meninggalkan ruang di belakang. Gol pertama Jepun terhasil daripada larian di ruang yang ditinggalkan oleh Carrasco dan disudahkan oleh Haraguchi. Kelemahan kedua Belgium adalah ruangan tengah mereka. De Bruyne akan banyak membantu serangan dan meninggalkan Witsel berseorangan. Inui mendapat ruang di depan pertahanan Belgium dan melakukan rembatan padu menewaskan Courtois.

Formasi Belgium bunuh kreativiti De Bruyne 

Belgium mempunyai masalah yang sama seperti generasi emas England suatu ketika dahulu. Hazard atau De Bruyne? Demi menurunkan kedua-duanya, salah seorang daripada dua pemain ini perlu berkorban. Dan orangnya adalah De Bruyne. Dia perlu bermain di bahagian tengah dan membantu bertahan ketika diserang. Ini menambahkan beban kepadanya dan mengurangkan kreativitinya. Ini sebenarnya merugikan juga Lukaku dan Belgium. De Bruyne adalah pemain yang akan lebih banyak membuat bantuan gol dan Lukaku perlukan bantuan pemain sepertinya untuk menjaringkan gol. Hazard lebih kepada pemain yang tujuan utamanya adalah menjaringkan gol seperti Cristiano Ronaldo. Dengan De Bruyne yang kadang kala terlalu menyerang, ianya meninggalkan ruang besar di bahagian tengah Belgium dan ini akan mudah dieksploitasi lawan yang lebih hebat.

Kesilapan dan terlebih semangat memakan diri

Sayang sekali buat Jepun. Mendahului 2-0 dan tewas 3-2 betul-betul di minit terakhir permainan. Apa yang menyedihkan mereka menjadi punca kepada kekalahan sendiri. Mendahului 2-0 dan pemain Belgium sedang tersentak, Jepun melakukan kesilapan yang memberi tekanan kepada diri mereka. Mereka boleh beraksi lebih baik dan melindungi kelebihan dua gol mereka. Gol pertama Kawashima tersilap jangka tandukan Vertonghen. Mereka tahu keupayaan fizikal Belgium terutamanya selepas Fellaini dimasukkan, tetapi mereka terus memberikan sepakan percuma dan sepakan penjuru kepada Belgium. Akhirnya Fellaini dapat menyamakan kedudukan. Ketika perlawanan hampir tamat dan mereka boleh terus berjuang di masa tambahan, Jepun memilih untuk mencuba menang dalam 90 minit dan dihukum oleh serangan balas pantas Belgium di minit terakhir perlawanan. Sayang seribu kali sayang.