Jurulatih Jepun, Akira Nishino mengakui amat kecewa selepas pasukannya tewas mengejut kepada Belgium 3-2, awal pagi tadi.
Jepun mendahului 2-0 selepas menjaringkan dua gol awal separuh masa kedua menerusi Genki Haraguchi dan Takashi Inui.
Bagaimanapun, pasukan itu kecundang di hujung permainan dan Nishino berkata mereka masih berada dalam keadaan yang terlalu terkejut untuk bercakap mengenainya.
“Kami bermula dengan baik, tetapi pada akhirnya kami melepaskan gol yang tidak dijangka,” kata Nishino.
“Saya menyuruh pemain untuk mandi di bilik persalinan, kerana mereka kelihatan masih terkejut. Saya akan bercakap dengan mereka apabila pulang ke hotel.
“Ketika mendahului 2-0 saya tidak menukar seorang pemain pun. Saya mahukan lagi sebiji gol, kami menguasai permainan tetapi pada ketika itu Belgium mula meningkatkan tekanan,” kata Nishino.
“Kami cuba mengganggu permainan Belgium, tetapi pada akhirnya kami gagal menandingi mereka,” katanya.
Jepun hampir mencipta kejutan apabila mendahului 2-0 sekali gus mengancam kedudukan Belgium yang mengimpikan untuk ke peringkat akhir Piala Dunia kali ini.
Namun, dua gol bolos menyebabkan Jepun seolah-olah hilang keyakinan dan arah tuju untuk layak ke pusingan seterusnya.
Belgium kembali merapatkan kedudukan menerusi tandukan Jan Vertonghen pada minit ke-69 dan pemain gantian Maroune Fellaini kemudiannya menyamakan kedudukan lima minit selepas itu sebelum Nacer Chadli menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94.- AFP