Kapten pasukan Sepanyol, Sergio Ramos mahu rakan sepasukannya memperbaiki kelemahan dengan segera selepas melakukan beberapa kesilapan ketika seri 2-2 menentang Maghribi.
Katanya, Sepanyol tidak boleh melakukan kesilapan yang sama lagi-lagi dalam pusingan kalah mati yang akan menentukan sama ada mereka masih layak untuk menjulang Piala Dunia.
Juara dunia 2010 itu dilihat masih bergelut dengan prestasi apabila dua kali ketinggalan di tangan Maghribi dan Ramos menjadi antara punca kedua-dua gol itu dijaringkan.
Mereka hanya mampu melakar keputusan seri yang menyaksikan La Roja menjuarai Kumpulan B dan perlu berterima kasih dengan gol pada lewat perlawanan yang dijaringkan oleh Iago Aspas yang pada awalnya tidak dikira kerana kedudukan ofsaid tetapi kemudiannya diterima setelah merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR).
Keputusan itu juga menyaksikan Sepanyol berjaya mengelak daripada bertemu Uruguay sebaliknya akan menentang Russia dalam aksi pusingan 16 terakhir.
“Kami berjaya mara dan menjuarai kumpulan, itu adalah matlamat utama tetapi corak permainan kami tidak begitu baik. Ia adalah malam yang mana semua pemain perlu melihat kembali kesilapan masing-masing, kami perlu perbaikinya dengan segera.
“Tiada keperluan untuk berasa panik tetapi kami perlu menilai semula prestasi keseluruhan pasukan dan individu. Kami boleh melakukan lebih lagi terutamanya bagi membentuk pasukan seimbang di bahagian pertahanan dan serangan,” kata Ramos.
Tambahnya, bahagian pertahanan adalah posisi yang perlu diperbaiki kelemahannya dengan segera menjelang aksi bertemu Rusia. – Reuters