Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 26 Jun 2018

Jendela perpindahan adalah satu tempoh yang sering membuatkan setiap pasukan sentiasa sibuk dalam cuba memperkuatkan skuad masing-masing. Ada juga pemain yang sedang giat melakukan perbincangan untuk berhijrah ke pasukan baru.

Situasi itu pastinya membuatkan beberapa pasukan kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk memanggil beberapa pemain menyertai mereka. Ada yang masih diperlukan majikan lama dan ada juga yang hanya menunggu masa untuk dilepaskan. Berikut adalah lima transfer rumour terhangat di Eropah daripada barisan pemain yang tidak ke Russia:

Eden Hazard

Pemain sayap Chelsea ini kembali dikaitkan dengan perpindahan keluar dari England selepas bapanya, Thierry, dilaporkan telah menghubungi Real Madrid selepas aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. Perpindahan itu baka diselesaikan sebaik sahaja mereka melepaskan Gareth Bale dan gagal mendapatkan khidmat Neymar. Eden pernah dikaitkan dengan jalan ke Santiago Bernabeu sebelum ini tetapi khabar angin itu menghilang selepas ZInedine Zidane meletakkan jawatan selaku pengurus Los Blancos tetapi kini ia kembali bertiup kencang.

Ruben Loftus-Cheek

Pemain yang menghabiskan saingan musim lalu secara pinjaman di Crystal Palace ini kembali menjadi buruan kelab Liga Perdana Inggeris yang lain. Dia sudah kembali ke Chelsea tetapi Everton dilaporkan berminat untuk membawanya menyarung jersi The Toffees kerana pengendali Everton, Marco Silva, dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain tengah England bagi menggantikan Morga Schneiderlin yang semakin hampir ke Marseille.

Thiago Alcantara

Bekas pemain akademi Barcelona yang menjadi tonggak utama Bayern Munich dan skuad kebangsaan Sepanyol ini telah menarik minat Real Madrid untuk memperkuatkan jentera tengah bagi menampung keadaan Luka Modric dan Toni Kroos yang semakin berusia. Bagaimanapun, usaha Los Blancos bakal ditentang Barca yang turut berhajat mahu membawanya kembali ke Camp Nou.

Paul Pogba

Satu lagi gosip perpindahan melibatkan pemain tengah dan Real Madrid. Skuad yang bakal menerima sentuhan Julen Lopetegui pada musim baru nanti itu dilaporkan bersedia untuk melakukan tawaran bagi membawa Paul Pogba ke Santiago Bernabeu. Masalah komunikasi yang dikatakan wujud antara pemain tengah Perancis itu dengan pengendali Manchester United, Jose Mourinho, dilihat mampu menjadi pembantu buat Madrid untuk mendapatkan khidmat pemain yang terkenal dengan gaya rambut yang sering menarik perhatian itu.

Aleksandr Golovin

Bintang Piala Dunia Russia ini menjadi sebutan hangat sejak menampilkan aksi cemerlang, terutamanya ketika aksi pembukaan menentang Arab Saudi. Situasi itu membuatkan Juventus pantas menamakannya sebagai sasaran utama untu menghadapi saingan musim depan. Selepas melihat harga untuk mendapatkan Sergej Milinkovic-Savic memerlukan kos yang sangat tinggi, skuad Bianconeri telah menyediakan dana berjumlah GBP18 juta untuk mendapatkan pemain CSKA Moscow ini.