Santai Piala Dunia 2018

Kisah tujuh kejuaraan yang pernah dimenangi oleh ‘Emperor Keisuke’

Keisuke Honda merupakan seorang pemain bola sepak profesional kelahiran negara matahari terbit, Jepun. Dilahirkan pada 13 Jun 1986 di Settsu, Osaka dalam keluarga yang aktif dalam bidang sukan.

Abangnya juga merupakan seorang pemain bola sepak. Bapa saudaranya pula merupakan bekas atlet kayak dan sepupu Keisuke Honda pula merupakan bekas ahli gusti Olimpik. Dibesarkan dalam keluarga yang bergiat aktif dalam bidang sukan, Keisuke Honda tidak ketinggalan untuk menceburi bidang tersebut dan bola sepak menjadi pilihannya.

Mula bermain bola sepak sejak berumur 8 tahun di sebuah akademi tempatan, Settsu FC. Cita-cita untuk bermain bola sepak ke peringkat yang lebih tinggi membawa Honda ke kelab remaja Gamba Osaka.

Beberapa kali tidak berjaya meloloskan diri ke pasukan senior, beliau tidak putus semangat. Ketika bermain mewakili sekolahnya, beliau berjaya memberikan impak kepada pasukan. Hasilnya, kelab Nagoya Grampus dari Liga J1 berminat untuk mendapatkannya.

Bermula tahun 2008, kelab berpengkalan di Belanda, VVV-Venlo membawa masuk Keisuke Honda ke Eredivisie. Semenjak itu, Keisuke Honda mula mencipta nama dalam kalangan peminat bola sepak dan mula menjulang beberapa kejuaraan sepanjang kerjaya bola sepaknya.

Berikut adalah tujuh kejuaraan yang dimenangi oleh Keizer Keisuke (Emperor Keisuke):

Eerste Divisie 2008/09

Eerste Divisie merupakan liga bola sepak divisyen 2 dalam sistem piramid bola sepak Belanda. Kisahnya bermula apabila Keisuke Honda dibawa masuk ke kelab VVV-Venlo pada awal 2008. Ketika itu kelabnya masih lagi bermain dalam Eredivisie (divisyen pertama) Belanda. Namun pada pengakhiran musim tersebut, VVV-Venlo terperosok ke liga divisyen dua ini ekoran tamat di kedudukan 17 liga. Musim berikutnya, Keisuke Honda berjaya beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan penting serta menjaringkan 16 gol dalam 36 perlawanan seterusnya membawa VVV-Venlo menjuarai Eerste Divisie musim tersebut. Ketika ini, Keisuke Honda mendapat gelaran ‘Keizer Keisuke’ yang membawa maksud Maharaja Keisuke oleh peminat kelab.

Piala Rusia 2010/11

Pada akhir tahun 2009, CSKA Moscow berminat untuk menandatangani Keisuke Honda. Harga perpindahan tidak diumumkan dan Keisuke bersetuju untuk menandatangi kontrak bersama kelab Rusia itu selama 4 tahun. Kejuaraan ini merupakan kejuaraan pertama Keisuke Honda bersama CSKA Moscow.

Piala Rusia 2012/13

Selepas memenangi Piala Rusia 2010/11, musim 2011/12 tidak memberikan apa-apa kejuaraan kepada ‘Emperor Keisuke’ dan CSKA Moscow. Beliau menang kejohanan liga kalah mati kali kedua selang musim berikutnya, iaitu pada musim 2012/13. Ketika ini, rakan sepasukannya, Ahmed Musa yang sedang bermain bersama Nigeria dalam Piala Dunia 2018, memenangi anugerah penjaring terbanyak kejohanan.

Liga Premier Rusia 2012/13

Selain daripada memenangi Piala Rusia, musim 2012/13 juga menjadi musim yang gemilang Keisuke Honda bersama CSKA Moscow apabila berjaya menjulang kejuaraan liga. CSKA Moscow berjaya menamatkan liga dengan 20 kemenangan, 4 seri dan 6 kekalahan seterusnya memberikan mereka 64 mata. Mereka juga layak secara automatik untuk ke Liga Juara-Juara UEFA.

Russian Super Cup 2013

Piala ini merupakan piala perlawanan pembukaan musim baharu bola sepak Rusia. Ia diumpamakan seperti ‘FA Community Shield’ di England atau Piala Sumbangsih di Malaysia. Juara Liga Premier Rusia akan bertemu dengan Juara Piala Rusia musim sebelumnya. Pada perlwanan ini, Keisuke Honda berjaya menjaringkan 2 gol dan CSKA Moscow memenangi perlawanan ini dengan jaringan 3-0 ke atas Zenit St. Petersburg

Supercoppa Italiana 2016

Sebuah lagi kejuaraan yang dimenangi oleh Keisuke Honda adalah Supercoppa Italiana semasa bersama kelab AC Milan. Piala ini juga merupakan piala perlawanan pembukaan musim baharu bola sepak di Itali. Memandangkan Juventus memenangi kedua-dua Serie A 2015/16 dan Coppa Italia 2015/16, AC Milan dipilih sebagai lawan di atas kapasiti naib juara Coppa Italia 2015/16. Perlawanan ini berlangsung di Doha, Qatar dan AC Milan memenangi perlawanan ini menerusi penentuan sepakan penalti, 4-3 setelah terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Piala Asia 2011

Bersama skuad Samurai Biru, Keisuke Honda merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Jepun yang menjadi juara Piala Asia pada 2011. Qatar menjadi tuan rumah pada edisi tersebut dengan Jepun bertemu Australia dalam aksi akhir kejohanan tersebut. Jepun berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas skuad Socceroos dan Keisuke Honda telah dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan.