Malaysia Piala Dunia 2018

Lima pemain ikonik Argentina yang pernah bermain di Liga Malaysia

Piala Dunia kali ini nampaknya Argentina agak bergelut. Seri menentang Iceland dan dibelasah oleh Croatia 3-0. Nasib mereka agak baik apabila Iceland tewas kepada Nigeria. Tapi kita bukan mau bercakap mengenai Lionel Messi dan rakan-rakannya.

Pemain dari Amerika Selatan adalah antara kegemaran kelab-kelab dari Liga Super Malaysia. Selain Brazil, pemain Argentina juga sering menjadi pilihan pasukan dari Malaysia. Ramai pemain Argentina yang sudah beraksi di Malaysia termasuk Pablo Aimar yang pernah beraksi di Piala Dunia.

Siapa tahu mungkin ada di antara pemain Argentina di Piala Dunia 2018 ini yang akan beraksi di Malaysia suatu hari nanti. Sekarang, mari kita lihat siapa antara pemain Argentina yang pernah memeriahkan liga Malaysia.

Pablo Aimar - JDT

Tidak sah senarai ini kalau tiada nama Pablo Aimar. Biarpun tidak lama di Johor Darul Ta'azim (JDT), tetapi impak Aimar cukup besar terutamanya untuk menarik penyokong ke stadium. Pernah beraksi di Malaysia ketika Piala Dunia Remaja dahulu, dia kembali ke negara ini di penghujung kerjayanya. Dia beraksi untuk Argentina di Piala Dunia 2002 dan 2006

Brian Fuentes - Selangor

Seorang penyerang yang cukup berbisa untuk Red Giants. Menyertai Selangor pada tahun 2004, dia berjaya menjaringkan 48 gol daripada 66 penampilan dan memenangi anugerah kasut emas pada tahun 2004. Dia sebahagian daripada skuad Selangor yang memenangi treble Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala FA.

Matias Conti - Pahang

Satu nama yang pastinya cukup dikenali oleh penyokong Pahang. Penyerang yang cukup berbisa dan membentuk gandingan yang cukup mantap dengan Dickson Nwakaeme. Dengan adanya pemain sayap yang pantas dan sering menghantar bola, Matias Conti cukup tajam di dalam kotak penalti lawan. Dia berjaya membantu Pahang menjulang Piala Malaysia .

Luciano Figueroa - JDT

Seorang lagi pemain JDT. Jika Pablo Aimar memberi kekuatan dari segi pemasaran, Figueroa pula memberi kelebihan di atas padang. Seorang pemain yang cukup profesional dan cukup disayangi penyokong JDT. Berkerja keras dan menjaringkan gol yang banyak untuk JDT, dia boleh dikatakan simbol kepada kebangkitan JDT dalam bolasepak Malaysia. Memenangi begitu banyak kejuaraan bersama JDT, dia dipanggil semula menyertai JDT musim ini untuk separuh musim pertama walaupun telah mengumumkan persaraan.

Juan Manuel Arestogui - MPPJ

Siapa boleh lupakan penyerang yang cukup berbisa dan membawa MPPJ menjadi kelab pertama menjulang trofi Piala Malaysia. Gandingannya bersama rakan senegara, Bruno Martelotto memang menjadi mimpi ngeri kepada semua pasukan. Pada tahun 2003, Arestogui menjaringkan 50 gol untuk MPPJ. Dalam aksi final Piala Malaysia 2003, Arestogui menyumbat hatrik dalam kemenangan 3-0 MPPJ ke atas Sabah.