Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 25 Jun 2018

Banyak pasukan dan pemain sudah mula mencongak strategi untuk menghadapi cabaran musim baru. Ada pasukan yang sudah melengkapkan perpindahan pemain baru tetapi terdapat juga sebilangan besar skuad yang masih menilai pemain untuk dibawa masuk dan keluar.

Situasi itu pastinya membuatkan beberapa pasukan kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk memanggil beberapa pemain menyertai mereka. Ada yang masih diperlukan majikan lama dan ada juga yang hanya menunggu masa untuk dilepaskan. Berikut adalah lima transfer rumour pilihan dalam saingan bola sepak di Eropah:

Kylian Mbappe

Manchester City dan Manchester United dikatakan berminat untuk cuba membawa pemain Paris Saint-Germain (PSG) ini ke England. PSG kini dalam situasi dimana sedang disiasat atas dakwaan berbelanja melebihi kemampuan walaupun perpindahan secara tetap buat Mbappe akan dilaksanakan pada musim panas ini. Justeru, dua kelab Manchester itu mahu mengambil kesempatan terhadap situasi yang melanda juara Ligue 1 itu. Dalam masa sama, khabar angin mengatakan Anthony Martial mahu meninggalkan Old Trafford juga boleh digunakan The Red Devils untuk menyertakan pemain itu dalam usaha mendapatkan Mbappe.

Abdou Diallo

Borussia Dortmund dilaporkan kini berada dalam peringkat terakhir untuk membawa pemain Mainz ini ke Signal Iduna Park. Perkara itu turut disahkan oleh pengarah sukan buat kedua-dua pasukan. Pemain berusia 22 tahun itu berhijrah ke Jerman pada Julai lalu selepas melengkapkan perpindahan bernilai EUR5 juta, namun kini Mainz tampak bersedia untuk mengaut keuntungan dengan melepaskannya pada jumlah GBP22 juta. Kehadiran bek tengah itu juga dikatakan bertujuan untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Sokratis Papastathopoulos.

Jose Gaya

Manchester United telah berputus asa dalam usaha untuk mendapatkan bek Juventus, Alex Sandro, dan kini akan mengalihkan perhatian kepada Jose Gaya. Menurut The Mirror, Sandro menjadi sasaran utama untuk dibawa ke Old Trafford tetapi Juve dilihat meletakkan nama yang terlalu tinggi. Justeru, Gaya dinamakan sebagai alternatif yang jauh lebih murah, iaitu pada jumlah GBP30 juta.

Yerry Mina

Bek tengah Colombia ini dilihat bakal meninggalkan Camp Nou walaupun baru sahaja menyertai Barcelona pada Januari lalu. Pemain berusia 23 tahun itu tiba dari Palmeiras kira-kira lima bulan lalu tetapi hanya melakukan enam penampilan dalam skuad utama kendalian Ernesto Valverde. Kehadiran Arthur Melo tidak lama lagi akan membuatkan Barca dibarisi terlalu ramai pemain asing, sekaligus nama Mina muncul untuk dikorbankan.

William Carvalho

Inter Milan akan cuba untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Portugal ini pada musim panas yang akan tiba tidak lama lagi, namun segalanya bergantung kepada situasi pemain itu bersama Sporting Lisbon. Carvalho merupakan salah seorang pemain yang membatalkan kontraknya bersama Sporting tetapi dia dilihat bakal dikenakan hukuman atas tindakan itu. Justeru, Inter akan meneliti keputusan terhadap tonggak utama Portugal itu.