Luar Negara Piala Dunia 2018

Messi tidak boleh dikepung, kata Jorge Sampaoli

Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli akan memastikan tonggak utama pasukannya, Lionel Messi tidak dikawal dengan terlalu ketat sehingga menyebabkan beliau gagal untuk menyerlah dalam perlawanan menentang Croatia, malam ini.

Malah, Sampaoli juga tidak akan mendedahkan barisan utamanya lebih awal berbanding ketika pertemuannya dengan Iceland tempoh hari.

Iceland yang mengikat Argentina 1-1 secara tidak langsung meningkatkan tekanan terhadap Messi dan rakan-rakan sepasukannya untuk beraksi lebih baik.

“Saya tidak dapat memberikan kamu bayangan skuad kerana kami belum memutuskannya lagi.

“Pihak lawan mempunyai ramai pilihan pemain, terutamanya di bahagian serangan. Oleh itu, kami harus mempunyai perancangan tertentu tetapi haruslah fleksibel.

“Perubahan yang saya ketengahkan nanti mungkin mencerminkan perubahan dalam sistem permainan demi memberikan kami lebih fleksibiliti. Apa yang paling penting bagi kami ialah untuk mengukuhkan bahagian pertahanan supaya kami dapat membina serangan kami dengan lancar selain lebih berbisa dalam kotak penalti.

Sampaoli juga mempertahankan Messi meskipun beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika melawan Iceland, namun Sampaoli berkongsi ideanya bagaimana Messi boleh menunjukkan kehebatannya ketika bertemu Croatia.

“Ideanya adalah untuk mencari ruang di mana Messi tidak terkepung. Itulah salah satu idea utama yang kami ketengahkan sebagai sebuah pasukan,” jelasnya.

“Jika dua atau tiga pemain mengawal ketat Messi, akan ada pemain lain yang akan bebas. Ini akan mewujudkan ruang dan peluang.

“Dengan itu, kami ingin mempunyai pemain yang dapat memanfaatkan situasi ini, seperti mana ketika menghadapi Iceland, Messi diberi kawalan ketat.

“Kami harap dapat mengatasi perkara ini sejak beberapa hari lalu supaya Leo dapat mengetengahkan kualiti yang dimilikinya dan jika beliau tidak dapat mengekspresikan dirinya, diharapkan pemain lain boleh lakukannya,” katanya.