Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 21 Jun 2018

Ketika Piala Dunia berlangsung, pemain-pemain yang gagal melayakkan diri pastinya sibuk melakukan persiapan untuk menghadapi musim baru. Ada juga pemain yang sedang giat melakukan perbincangan untuk berhijrah ke pasukan baru.

Situasi itu pastinya membuatkan beberapa pasukan kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk memanggil beberapa pemain menyertai mereka. Berikut adalah lima transfer rumour terhangat di Eropah daripada barisan pemain yang tidak ke Russia:

Steven Nzonzi

Pemain tengah Sevilla ini menampilkan aksi cemerlang bersama kelab LaLiga itu sehingga menerima panggilan Perancis dalam skuad awal ke Piala Dunia 2018. Persembahan yang menarik membuatkan Arsenal berminat untuk mendapatkan khidmatnya dan pengalaman Nzonzi yang pernah beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris bersama Blackburn suatu ketika dahulu mampu menjadi faktor untuknya lebih mudah menyesuaikan diri dengan corak permainan di England.

Patrick van Aanholt

Juventus bercadang mendapatkan khidmat pertahanan Crystal Palace ini pada nilai GBP25 juta sekiranya Alex Sandro berpindah Manchester United bagi mengisi posisi bek kiri. Jose Mourinho dilihat masih belum berputus asa untuk mendapatkan pemain dari Brazil itu dan situasi itu membuatkan van Aanhold tampak menjadi calon ideal untuk menggantikan tempatnya.

Riyad Mahrez

Kisah perpindahan Mahrez ke Manchester City telah menjadi hangat sejak Januari lalu, namun disebabkan Leicester City tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan The Citizens, proses itu gagal mencapai kata sepakat. Kini, pasukan bimbingan Pep Guardiola dilaporkan bersedia untuk melakukan bidaan berjumlah GBP60 juta, sekaligus memecahkan rekod perpindahan kelab buat pasukan dari Manchester itu selepas mendapatkan Aymeric Laporte pada harga GBP57 juta, lima bulan lalu.

Jamal Lascelles

Kapten Newcastle United ini kini menjadi salah satu sasaran utama pengendali Everton yang baru, Marco Silva, dalam usahanya untuk memadamkan corak permainan Sam Allardyce dalam pasukannya. Everton dilaporkan menyediakan dana berjumlah GBP30 juta dan situasi tentang masa depan Rafael Benitez yang masih dalam perbincangan mungkin mampu memainkan peranan dalam perpindahan Lascelles.

Malcom

Manchester United dikhabarkan bakal menerima kehadiran dua pemain dari Ligue 1 iaitu pemain sayap Bordeaux, Malcolm, dan bintang tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti. Malcolm menarik perhatian banyak kelab-kelab besar di Eropah termasuk Chelsea dan Bayern Munich, namun menurut laporan Manchester Evening News, perpindahan ke Old Trafford tampak lebih cerah untuk berlaku memandangkan The Red Devils memerlukan pemain sayap yang baru.