Jurulatih Jerman, Joachim Low mengakui bahawa pasukan yang dikendalikannya sejak dinobatkan juara Piala Dunia empat tahun lalu itu bermain dengan teruk sehingga menyebabkan kekalahan 1-0 kepada Mexico, awal pagi tadi.
Mexico yang menunjukkan prestasi luar biasa apabila bahagian sayap sering menembusi pertahanan Jerman dengan larian daripada Hirving Lozano dan Javier Hernandez.
Jerman yang cukup goyah di bahagian pertahanan sepatutnya menutup ruang kelemahan yang ada namun mereka sebaliknya dihukum oleh Lozano yang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-35 di Moscow mengakibatkan Jerman tewas perlawanan pembukaan di Piala Dunia buat pertama kalinya dalam tempoh 36 tahun.
“Separuh masa pertama kami bermain dengan sangat teruk,” kata Low.
“Kami tidak dapat bermain seperti biasa, dari segi serangan dan hantaran langsung tidak menjadi.
“Kami tidak efektif dalam ruang-ruang kosong. Terdapat banyak serangan balas dan kami terpaksa berlari kembali dan sudah tentu, kami sangat terdedah kerana kami kehilangan bola ketika menyerang dan ia meninggalkan jurang yang luas.
“Pada separuh masa kedua kami menekan dengan lebih banyak tetapi Mexico juga turun bertahan.
“Kami mempunyai beberapa rembatan ke gawang tetapi entah bagaimana ia seperti terkena sumpahan, bola tidak mahu masuk. Kadang-kadang mereka terlalu cepat menendang ke arah gol dan tidak mengambil masa sedikit, tidak bertenang terlebih dahulu,” katanya.
Jerman tidak pernah gagal untuk melepasi pusingan kumpulan pada Piala Dunia tetapi mereka perlu bangkit semula untuk bersedia dalam perlawanan akan datang bertemu Sweden pada 23 Jun ini di Sochi.
“Sudah tentu, semua orang benar-benar tidak berpuas hati dan terkejut, tapi esok kita perlu melihat ke hadapan,” kata Low.
“Kami perlu meletakkan ini di belakang kami, pasukan kami mempunyai pengalaman dalam menangani kekalahan dan perlawanan seterusnya akan menjadi penentu bagi kami.
“Kami tidak akan mengubah perancangan kami. Jika kami bermain mengikut idea yang telah ditetapkan maka kami hanya memerlukan pemain yang mampu menyampaikannya.
“Kami perlu memberi tumpuan kepada kekuatan pasukan, sesuatu yang kami tidak dapat lakukan dalam beberapa perlawanan terakhir.
“Ia mengecewakan apabila tewas dalam perlawanan pertama. Ia adalah situasi yang mana kami tidak biasa langsung. Dalam banyak kejohanan terdahulu kami selalu menang perlawanan pertama tetapi kali ini kami perlu menerimanya.
“Selalu akan ada halangan untuk diatasi dan kami perlukan penyelesaian dan melakukan dengan lebih baik pada perlawanan akan datang.” – AFP