Malaysia Liga Super Malaysia

JDT umum kehadiran Fernando Marquez, cari seorang lagi pemain import

Nampaknya peminat Johor Darul Ta’azim boleh mengucapkan selamat tinggal kepada dua pemain import yang baru menyertai mereka iaitu Harry Novillo dan Jorge Santos Silva.

Semalam JDT telah mengumumkan secara rasmi kehadiran penyerang import baru mereka, Fernando Marquez yang berasal daripada Argentina.

Penyerang yang beraksi untuk kelab Defensa y Justicia itu bakal memikul tugas sebagai penggempur utama JDT selepas menunjukkan prestasi cemerlang berada dalam kelompok lima penyerang terbaik di liga utama Argentina.

Namun, Fernando Marquez bukan penutup kepada perpindahan di JDT, kerana juara bertahan Liga Super itu akan membawa masuk seorang lagi pemain yang berasal daripada Argentina.

Ada khabar menyatakan bahawa JDT akan membawa masuk Diego Mario Buonanotte yang juga pernah dikaitkan dengan mereka pada tahun 2014 dahulu.

Pemain dari Argentina itu kini beraksi bersama Universidad di Catolica di Chile tetapi pernah beraksi di Eropah bersama kelab seperti AEK Athens, Granada dan Malaga.

Pemain berusia 30 tahun itu boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan juga sebagai pemain sayap.

Dengan kehadiran dua pemain ini, nampaknya masa untuk Novillo dan Jorge Santos Silva sudah tiba ke penghujung. Baru menyertai JDT dan beraksi dalam tiga perlawanan, tetapi nampaknya persembahan mereka tidak memuaskan.