Berita Malaysia

Nike lancar jersi terbaru Harimau Malaya, apa komen anda?

Ketika negara lain sudah melancarkan jersi masing-masing untuk Piala Dunia yang bakal menjelang tidak lama lagi, nampaknya pasukan Asia Tenggara pun tidak mahu mengaku kalah.

Semalam, Nike telah melancarkan jersi untuk tiga pasukan Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura menjelang Sukan Asia dan juga Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung pada tahun ini.

Bagi Malaysia, nampaknya kita kembali kepada warna hitam kuning untuk jersi di tempat sendiri dan merah biru untuk aksi di tempat lawan. Warna ini digunakan selepas Malaysia menggunakan jersi berwarna hitam dan putih sejak Piala AFF pada tahun 2016.

Bagi jersi di tempat sendiri, Malaysia menggunakan rekaan yang cukup simbolik dengan gelaran Harimau Malaya. Jika sebelum ini kita sering menggunakan jalur hitam dan kuning, untuk rekaan terbaru ini, jersi Malaysia memang mempunyai jalur harimau. Mungkin pemain akan dapat menyerap semangat Harimau Malaysia selepas menyarung jersi ini.

Bagi rekaan di tempat lawan pula, kita menggunakan warna biru dan merah. Warna biru mendominasi jersi ini dengan warna merah di bahagian lengan. Jersi ini dipadankan dengan seluar berwarna putih dan stokin berwarna biru. Rekaan dan warna ini diambil dengan menggunakan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, sebagai inspirasi.

Bagi Indonesia pula,mereka akan menggunakan jersi berwarna merah bagi perlawanan di tempat sendiri dan jersi putih di tempat lawan.Tidak banyak perubahan dari segi rekaan jersi Indonesia kecuali jersi tempat sendiri yang menggunakan warna merah sepenuhnya, berbanding mempunyai warna hijau di bahagian lengan jersi sebelum ini. Rekaan bagi jersi Singapura juga tidak banyak beza seperti sebelumnya dengan pasukan jiran kita ini akan menyarung jersi berwarna merah bagi aksi di tempat sendiri dan biru di tempat lawan.

Jersi bagi ketiga-tiga negara ini akan mula dijual pada bulan September nanti.

Jadi, apa pendapat anda mengenai jersi terbaru ketiga-tiga negara ini? Adakah Malaysia mempunyai jersi yang paling hebat? Dan adakah anda akan membelinya nanti?