Buat pertama kali, skuad kebangsaan Iceland akan bertanding di pentas Piala Dunia. Mereka hampir mencatatkan sejarah pada awal 2014, namun tewas di tangan Croatia ketika saingan play-off. Iceland muncul negara terkecil yang beraksi di Piala Dunia 2018. Selepas melakukan kejutan di Piala Eropah 2016, Iceland kini bersedia untuk mencipta keajaiban di Russia.
Barisan pemain
Pengendali Iceland, Heimier Hallgrimsson, sudah mengumumkan nama 23 pemain yang akan dibawa ke Russia, termasuk Gylfi Sigurdsson yang mengalami kecederaan. Apa yang menarik, Hallgrimsson menamakan hampir kesemua pemain yang ditampilkan ketika Piala Eropah 2016. Hanya lapan orang pemain baru yang dimasukkan, iaitu Orn Eyjolfsson, Samuel Kari Fridjonsson, Olafur Ingi Skulason, Rurik Gislason, Bjorn Bergmann Sigurdarson dan Albert Gudmundsson. Hanya ada dua orang pemain yang beraksi di liga tempatn iaitu Birkir Mar Saevarsson dan Kari Anarson.
👀 Hey @FIFAWorldCup – Here's our squad for Russia 🏆https://t.co/NnhfYUVTW5#fyririsland #teamiceland #WorldCup
— Knattspyrnusambandið (@footballiceland) May 11, 2018
Kekuatan
Aksi kelayakan Piala Dunia membuktikan bahawa Iceland memiliki barisan pertahanan yang sukar ditembusi. Mereka hanya bolos tujuh kali dalam 10 perlawanan dan mencatat jumlah lima perlawanan tidak dibolosi. Beberapa pasukan yang pernah bertemu mereka sudah merasai akan kesukaran untuk menembusi benteng mereka seperti Ukraine, Turki serta Croatia. Ia disebabkan oleh tugas bertahan bukan saja digalas oleh pertahanan tetapi semua pemain.
Kelemahan
Jika kekuatan mereka terletak pada barisan pertahanan, kelemahan mereka pula hadir dari barisan depan. Iceland tidak memiliki ramai bintang di dalam skuad. Mereka tidak mempunyai penyerang tajam yang mampu mengubah keadaan yang ada dan menjadi penentu apabila diperlukan. Walaupun jaringan mereka tidak banyak beza dengan Perancis dan England ketika aksi kelayakan dengan 16 gol tetapi barisan depan adalah sesuatu yang perlu diberikan tumpuan oleh Hallgrimsson.
Pemain utama
Pasukan yang memiliki jolokan nama Strakarnir Okkar ini beruntung memiliki pemain seperti Sigurdsson. Bekas pemain Swansea City ini bukan hanya dapat mencipta peluang buat rakan sepasukan, namun dia juga berkemampuan menjaringkan gol. Sigurdsson menjadi pemain yang meraih gol terbanyak buat Iceland di peringkat kelayakan Piala Dunia dengan empat gol dan bantuan jaringan dengan jumlah sama.
Penyokong-penyokong Iceland jelas meragui dan khuatir apabila Sigurdsson dilanda kecederaan tetapi akhirnya lega apabila namanya tetap disenaraikan dalam senarai 23 orang pemain yang akan dibawa Hallgrimsson ke Russia. Waaupun harus menunggu perkhabaran terbaru darinya, pemain Everton ini jelas menjadi kunci utama buat Iceland untuk melepasi peringkat kumpulan.
Jangkaan formasi
Hallgrimsson akan tetap dengan formasi 4-4-2. Di gawang, Hannes Thor Halldorsson akan menjadi pilihan utama, sambil dibantu dua bek tengah, Ragnar Sigurdsson dan Kari Arnason manakala posisi bek sayap dijangkan akan menjadi milik Birkir Mar Saevarsson dan Hordur Magnusson.
Di bahagian tengah, Aron Gunnarsson, yang merupakan kapten akan menemani Sigurdsson untuk memberikan hantaran sempurna ke bahagian depan. Posisi bahagian kanan akan menjadi milik pemain Burnley, Johann Berg Gudmundsson, sementara kawasan kiri akan digalas oleh Birkir Bjarnason.
Jentera serangan Iceland akan mempertaruhkan Alfred Finnbogason yang sudah mencatat 12 gol untuk FC Ausburg di Bundesliga pada musim ini dan Hallgrimsson akan meletakkan Jon Dadi Bodvarsson sebagai rakan gandingannya.
Peluang di Piala Dunia
Sejujurnya, peluang Iceland untuk mara ke pusingan kedua agak tipis tetapi ia tidak bererti mereka tidak boleh melakukannya. Mereka sudah mencipta keajaiban di Piala Eropah 2016 dan layak ke suku akhir setelah mengatasi England. Mereka juga layak ke Piala Dunia 2018 sebagai juara kumpulan setelah memaksa Croatia berentap di play-off. Kita juga sudah pasti akan berharap dapat menyaksikan persembahan thunderclap mereka di Russia nanti.