Malaysia Liga Super Malaysia

Alami kecederaan MCL, Kelantan lepaskan Ghaddar

Dapat seorang pemain import, hilang seorang pemain import.

Itulah yang berlaku kepada Kelantan apabila mereka secara rasminya telah menamatkan kontrak penyerang import, Mohamed Ghaddar ekoran masalah kecederaan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan dalam satu kenyataan yang ditulis di laman Facebooknya, mengesahkan bahawa KAFA telah menamatkan kontrak Ghaddar kerana pemain tersebut mengalami kecederaan MCL dan perlu menjalani rawatan selama empat bulan.

Ghaddar akan kembali ke Lubnan untuk menjalani rawatan dan proses rehabilitasi.

Sebelum ini Kelantan telah mendapatkan pemain pertahanan dari Tunisia, Alaeddini Bouslimi untuk mengisi kuota import mereka. Dengan pemergian Ghaddar dan kehadiran Alaeddini, Red Warriors setakat ini menggunakan hanya dua pemain import dan kedua-duanya beraksi di bahagian pertahanan.

Kelantan terpaksa melepaskan ramai pemain import mereka ekoran masalah kewangan yang dihadapi pasukan berkenaan. Selain Ghaddar, antara pemain import yang sudah dilepaskan Kelantan adalah Ferdinand Sinaga, Bruno Lopes, Morgaro Gomis dan Do Dong-hyun.

Buat masa ini, Kelantan di bawah kendalian ketua jurulatih Fajr Ibrahim menggunakan pemain-pemain muda tempatan bagi saingan Liga Super. Kelantan kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super, tiga mata di depan pasukan tercorot, Negeri Sembilan. Jika Kelantan boleh mencatat kemenangan ke atas Kuala Lumpur dan Melaka gagal menewaskan PKNS, Kelantan boleh menjauhkan diri daripada zon penyingkiran.