Malaysia Liga Super Malaysia

Dong-hyun tidak berpuas hati dengan layanan jurulatih Kelantan

Pemain import Kelantan, Do Dong-hyun menganggap tindakan jurulatih, Fajr Ebrahim tidak membenarkan beliau berlatih bersama pasukan utama adalah sangat tidak profesional walaupun beliau masih mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini.

Katanya, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengenai kedudukannya.

Namun, pemain Korea Selatan itu mengakui beliau mendapat arahan untuk tidak turun padang berlatih bersama pasukan.

“Setakat ini tidak ada sebarang pengesahan. Saya masih pemain Kelantan.

“Ia keputusan yang benar-benar tidak profesional daripada seorang jurulatih. Saya tahu apa yang cuba dilakukannya, tetapi saya tidak akan mengikut apa yang dia mahukan,” katanya kepada Berita Harian.

Dong-hyun bersama beberapa orang pemain seperti Badhri Radhi, Morgaro Gomis, dan Amiridzwan Taj Tajuddin diarahkan untuk menjalani latihan secara berasingan pada sebelah pagi berbanding pasukan Kelantan yang berlatih pada sebelah petang.

Kali terakhir Dong-hyun menyarung jersi Kelantan adalah ketika pasukannya mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Agak luar biasa kerana Dong-hyun diminati penyokong Kelantan setelah menjaringkan hatrik ketika Kelantan mengalahkan Perak 3-2 dalam aksi Liga Super pada awal musim sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PFAM-asiana.my pada bulan Februari lalu.

Namun, pelantikan Fajr Ibrahim pada pertengahan Mac lalu seolah-olah menggugat kedudukan Dong-hyun bersama beberapa pemain senior lain apabila jurulatih itu lebih cenderung mempertaruhkan pemain-pemain muda.

Malah, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan sebelum ini mengesahkan Dong-hyun bersama dua lagi import, Mohamed Ghaddar dan Gomis tidak lagi berada dalam perancangan pasukan dan membuka tawaran kepada pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.