Malaysia Luar Negara

Kelab Liga Perdana Inggeris, Liga Perancis dan La Liga buru lima pemain NFDP

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar mengesahkan tiga kelab gergasi Eropah berminat untuk mendapatkan lima pemain yang berlatih di bawah program NFDP.

Katanya, ia hasil daripada kejayaan yang diraih pasukan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah 13 tahun (B-13) yang telah mempamerkan aksi cemerlang dalam dua kejohanan di Perancis bulan lalu.

“AMD B-13 telah menunjukkan impak yang sangat tinggi selepas mereka berjaya merangkul tempat ketiga dan keempat bagi dua kejohanan yang rata-ratanya disertai oleh akademi kelab Ligue 1 seperti Paris Saint-German (PSG), FC Metz dan FC Nantes.

“Walaupun AMD B-13 tidak berjaya menjulang trofi, namun ia sudah memadai apabila mereka menjadi salah satu pasukan pencabar kerana kejohanan tersebut turut disertai akademi terkemuka di Perancis.

“Pada masa yang sama, lima pemain telah diintai kelab gergasi Eropah seperti Manchester City, Manchester United dan PSG untuk mendapatkan pemain yang mereka minati bagi menjalani latihan bersama jurulatih akademi tersebut.

“Kami juga baru mendapat tawaran daripada kelab La Liga untuk mendapatkan pemain tersebut kerana mereka juga menaruh harapan yang tinggi bagi mendapatkan pemain berkenaan.

“Bagaimanapun, kami masih dalam perbincangan untuk memutuskan kelab terbaik bagi destinasi pemain yang telah terpilih tersebut,” katanya kepada Kosmo!

Pada kejohanan tersebut, dua pemain remaja negara turut mendapat pengiktirafan iaitu Rohisham Haiqal yang menerima Anugerah Pemain Terbaik dan Anugerah Penjaga Gol Terbaik pula dimenangi oleh Hazriq Haqqim.