Luar Negara Kajian & Analisis

Kenali pemain-pemain Asia Barat yang sedang menarik perhatian kelab gergasi Eropah

Kebelakangan ini pemain-pemain dari Asia mula memenuhi kancah b ola sepak Eropah.

Menariknya, ia bukan hanya daripada pasukan-pasukan Asia Timur seperti Jepun, Korea Selatan atau Australia sahaja, malah wakil daripada Asia Barat yang berdarah Arab seperti Iraq, Iran, Arab Saudia, Syria dan sekelilingnya juga menggamit perhatian.

Walaupun sebahagian besar mereka masih beraksi di Asia, namun sekurang-kurangnya bakat mereka pantas dihidu kelab-kelab Eropah.

Sardar Azmoun

Penyerang Iran ini sudah menerima perhatian yang luar biasanya ketika usia memasuki 23 tahun. Tanpa berselindung, Azmoun disebut sebagai Messi dari Iran! Bagaimanapun, pemain yang mewakili kelab Russia, Rubin Kazan, ini adalah pemain yang lebih tinggi dan besar, sementara gaya permainannya lebih mirip Zlatan Ibrahimovic berbanding Messi. Apapun, Azmoun beraksi baik buat Rubin Kazan dan aksinya di Piala Dunia bersama Iran pasti dinanti.

Saman Ghoddos

Ghoddos beraksu buat kelab Sweden yang menjadi lawan Arsenal ketika saingan Liga Europa, FK Ostersund. Penyerang berusia 24 tahun ini bermain cemerlang bersama Ostersund dan Leicester City, West Ham United serta Hoffenheim dilaporkan mula memantau perkembangannya. Ghoddos tentu akan menjadi tonggak skuad kebangsaan Iran di Piala Dunia akan datang. Apa yang menarik, Ghoddos sempat mewakili skuad kebangsaan Sweden di peringkat belia setelah dilahirkan di negara Scandinavia itu, sebelum akhirnya memilih untuk menyarung jersi Iran.

Omar Kharbin

Kharbin menjadi salah seorang pemain dari Asia yang semakin menyinar kebelakangan ini. Penampilan penyerang dari Syria ini mendapat perhatian selepas membawa pasukannya, Al-HIlal, menjadi naib johan Liga Juara-Juara Asia pada tahun lalu dan hampir membawa Syria ke Piala Dunia. Walaupun gagal bersama pasukannya, Kharbin berjaya meraih penghargaan individu yang berprestij, seperti penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Asia dan Pemain Terbaik Asia 2017.

Fahad Al-Muwallad

Daripada banyak jumlah pemain dari Arab Saudi yang dipinjamkan ke kelab-kelab di Sepanyol, Fahad menjadi pemain pertama yang diberikan waktu permainan. Pemain yang beraksi di sayap kiri ini beraksi buat kelab Levante ketika aksi bertemu Las Palmas. Walaupun hanya beraksi selama 10 minit, penampilan Fahad adalah bukti bahawa dia adalah pemain yang paling berbakat daripada segelintir wakil Arab Saudi di Sepanyol.

Akram Afif

Afif menjadi salah satu bakat bola sepak terbaik dari Qatar. Lulus dari Aspire Academy iaitu salah sebuah akademi bola sepak paling dikenali di Qatar, dia menyertai kelab Belgium, KAS Eupen, dan beraksi hebat sebelum berhijrah ke Villareal. Sayangnya, kariernya di Sepanyol itu tidak lama apabila dipinjamkan ke Al-Sadd. Kini, pada usia 21 tahun, Afif dijangka masih mampu berkembang dengan lebih hebat.

Ali Adnan

Adnan adalah salah seorang pemain terbaik yang dihasilkan Iraq kebelakangan ini. Selepas mengalami penurunan prestasi walaupun memenangi Piala Asia 2007, skuad Iraq kembali dibarisi pemain-pemain yang berkualiti, diketuai oleh generasi Adnan. Bek kiri ini juga mampu beraksi di bahagian tengah dan kini menjadi watak utama di Udinese tatkala usia baru menjengah 24 tahun. Adnan dilihat mampu untuk beraksi bersama kelab lebih besar.

Alireza Jahanbakhsh

Tanpa ragu, Alireza adalah pemain terbaik dari Asia Barat ketika ini. Pemain sayap Iran ini menjadi penjaring terbanyak Eredivisie Belanda berbekalkan 21 gol buat AZ Alkmaar. Dia juga mampu mencipta jaringan buat pemain lain apabila mencatat 12 bantuan gol di Liga Belanda. Baru berusia 24 tahun, Alirez layak untuk mewakili kelab lebih besar.