Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan mahu bawa masuk pemain import yang sedang beraksi di Israel

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan Kelantan sedang mencari beberapa pemain import baharu dari Eropah dan sekitar Asia termasuklah dari Israel.

Katanya, pemain tersebut sedang beraksi bersama sebuah pasukan di Israel dan perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu kerana bimbang akan mencetuskan kontroversi yang tidak diingini.

“Ada seorang pemain import terbabit kini beraksi di Israel dan perkara itu kita akan teliti terlebih dulu bersama jurulatih, Fajr Ibrahim.

“Kita tidak mahu pemain yang dibawa nanti menimbulkan kontroversi dalam kalangan penyokong pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Manakala pemain-pemain lain yang akan diuji dalam masa terdekat adalah dari Syria, Tunisia, Rusia, Uzbekistan, Perancis dan benua Afrika.

“Kita bercadang untuk mengambil pemain import baharu dari beberapa negara di benua Eropah dan Asia bagi menggantikan beberapa pemain sekali gus memperkuatkan pasukan.

“Beberapa pemain dari negara berkenaan sudah memberi lampu hijau untuk diuji dan kita sudah menghantar surat kepada MFL mengenai harga dan gaji setiap pemain,” katanya.

Dalam pada itu, Bibi turut membuka tawaran kepada mana-mana pasukan yang berminat dengan khidmat pemain Kelantan.

“Mana-mana pasukan yang mahu Amiridzwan Taj, Badhri Radzi, Faizol Nazlin, Ramdhan Abdul Hamid, Faris Shah Rosli, S. Veenod, Do Dong Hyun dan Morgaro Gomis boleh memaklumkan pada kita untuk sebarang rundingan,” katanya.