Luar Negara Berita

Donald Trump ugut negara yang tidak sokong bidaan tuan rumah Piala Dunia 2026 USA

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memang terkenal dengan kenyataan yang penuh kontroversi terutamanya menerusi laman Twitter peribadinya.

Terbaru, Trump nampaknya telah menggemparkan dunia bolasepak menerusi akaun Twitternya yang telah dipandang serius oleh Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Donald Trump telah mengugut negara-negara yang menentang usaha Amerika Syarikat untuk menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2026, dan ini telah menyebabkan FIFA melihat semula peraturan yang melarang mana-mana pihak menggunakan unsur politik ketika membuat bidaan. Maghribi merupakan satu-satunya negara yang membuat bidaan selain daripada Amerika Syarikat yang melakukan bidaan bersama Kanada dan Mexico.

Trump menerusi akaun Twitternya telah menyatakan: “Amerika Syarikat telah menghantar satu bidaan yang mantap bersama Kanada dan Mexico untuk Piala Dunia 2026. Ianya satu perkara yang memalukan jika negara-negara yang kami selalu sokong melobi menentang bidaan Amerika Syarikat. Kenapa kami perlu sokong negara-negara ini jika mereka tidak menyokong kami (termasuk di United Nations).

FIFA akan memilih tuan rumah Piala Dunia 2026 dalam satu mesyuarat di Moscow pada 13 Jun nanti.

Undang-undang bidaan mengandungi larangan tegas berkenaan aktiviti melibatkan kerajaan negara membuat bidaan yang mampu memberi kesan kepada integriti proses bidaan.

Setakat ini, dua negara Eropah telah menyatakan sokongan mereka kepada Maghribi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026, Perancis dan tuan rumah Piala Dunia 2018, Russia.

Selain daripada dua negara tersebut, Maghribi juga dijangka menerima sokongan kuat daripada negara-negara Afrika dan Timur Tengah.