Luar Negara Eropah

Tribe Scout: Siapakah Rodri, pemain tengah yang baru sertai Atletico Madrid?

Gabi adalah legenda Atletico Madrid. Dia adalah kapten, ketua dan pemain tengah bertahan buat Atletico tetapi kini sudah berusia 34 tahun, membuatkan Los Rojiblancos mula mencari penggantinya sejak beberapa bulan yang lalu.

Kini, mereka telah mendapatkan Rodri Hernandez yang akan menyertai mereka pada musim panas akan datang.
Rodri adalah pemain kelahiran akademi belia Atletico tetapi kelibatnya tidak menarik perhatian sehingga dilepaskan ke Villareal pada 2013 sewaktu berusia 17 tahun.

Langkah itu nyata memberikan kesan kepada pasukan. Kini, pada ketinggian enam kaki tiga inci dan berat 85 kilogram yang mampu memberi cabaran kepada pihak lawan, Atletico terpaksa membayar kepada Yellow Submarine 20 juta EURO bersama seorang pemain untuk membawa masuk pemain tengah itu kembali ke ibu negara Sepanyol. Melihat kepada usia Gabi yang semakin meningkat dan Thomas Partey yang gagal konsisten dalam setiap perlawanan, langkah mendapatkan Rodri adalah tindakan paling tepat buat mereka.

Sama seperti Gabi yang terpaksa meninggalkan Atletico hanya untuk membuktikan kebolehannya bersama Real Zaragoza, Rodri telah mempamerkan kemampuannya di pantai timur Sepanyol apabila muncul sebagai nadi terpenting Villareal walaupun baru berusia 21 tahun.

Bagaimanapun, tatkala dia mungkin bakal menjadi pengganti buat Gabi bagi tempoh yang panjang di jentera tengah Atletico, gaya permainannya lebih mirip kepada Sergio Busquets dan telah dibandingkan dengan tonggak Barcelona itu oleh pihak media, sambil menyifatkan Rodri bakal merampas peranan 5 di dalam skuad Sepanyol pada satu hari nanti.

Rodri kini membarisi skuad B-21 Sepanyol dan pengendali pasukan, Albert Celades, bersetuju dengan perbandingan itu. “Benar untuk mengatakan bahawa Rodri memiliki persamaan dengan Busquets,” katanya kepada El Pais. “Apa yang paling menarik perhatian saya adalah kepantasannya menggunakan kedua belah kaki walaupun tidak memiliki fizikal yang besar. Dia agak sempurna dalam membawa bola keluar daripada zon tekanan. Seperti Busquets, dia memiliki keinginan untuk meletakkan diri dalam posisi yang tepat dan tahu pergerakan bola lawa, memudahkan tugas untuk merampasnya.”

Di peringkat kelab, bekas pengurus skuad muda, Javi Calleja, telah dinaikkan Villareal ke skuad utama pada awal musim 2017/18, sekaligus membantu perkembangan Rodri ke pasukan utama. Dia sudah berada dalam pasukan senior sejak musim lalu pada usia 20 tahun tetapi tidak menjadi pilihan utama, selepas hanya beraksi selama 834 minit dalam saingan LaLiga di sepanjang kempen. Musim ini, dia telah mencatat 1,385 minit penampilan liga daripada 16 minggu, sambil masalah kecederaan yang melanda pemain veteran, Bruno Soriano, telah memberi ruang buatnya untuk meraih kepercayaan Calleja. Setelah Bruno kembali, Calleja mencari jalan untuk menggandingkan kedua-dua pemain itu di atas padang.

Selepas ini, Rodri bakal menjadi komponen utama dalam pertaruhan Diego Simeone. Pengendali dari Argentina itu mungkin perlu menjalankan ujikaji dan mengubah formasi kegemaran (4-4-2) sebagai usaha untuk mendapatkan penampilan terbaik bekas produk muda Atletico itu, seperti apa yang berlaku di Villareal, dimana mereka turut menggunakan 4-4-2 secara ortodoks pada musim lalu.

Kini, Yellow Submarine mengambil pendekatan 4-1-2-1-2, berkonsepkan jentera tengah dengan segi empat, membiarkan Rodri selaku pemain tengah bertahan dan membolehkannya mempersembahkan aksi terbaik. Di Atletico, perancangan jangka masa panjang Simeone tentunya meletakkan Rodri di depan barisan benteng dan meletakkan tiga lagi tonggak tengah yang berperanan lebih kepada serangan.

Dia pasti yakin Rodri mampu mengawal bahagian bawah dan memulakan gerakan serangan seperti Busquets. Itu adalah apa yang dilakukan oleh Rodri sepanjang musim ini, memenangi bola dari bawah lebih banyak berbanding pemain lain di LaLiga, sambil menempatkan diri dalam senarai 10 pemain terbaik dalam melakukan hantaran sempurna.

Rodri tampak menjanjikan pelaburan yang berbaloi dan harga 20 juta EURO dilihat sebagai satu “bonus” buat Atletico, tidak kira walaupun klausa perpindahannya pada awal musim adalah dua kali ganda daripada jumlah itu, sebelum kontraknya diubah suai pada bulan lalu. Atletico dilihat mengesahkan khidmat untuk seorang pemain yang dimahukan Barcelona bagi tempoh 10 tahun akan datang, sama seperti pasukan lain di England dan Jerman. Rodri Hernandez, jangan lupa nama itu.

Oleh Euan McTear
(www.tifofootball.com)