Asia Asia Tenggara

Marko Simic sah penyerang paling berbisa di Piala AFC musim ini

Persija Jakarta akhirnya melepasi peringkat kumpulan Piala AFC 2018 selepas membenam Tampines Rovers 4-2 di tempat lawan. Rezaldi Hehanusa membuka tirai jaringan buat Persija selepas menyempurnakan hantaran Riko Simanjuntak. Walaupun tuan rumah menyamakan kedudukan, Riko kembali menjadi watak utama dalam menghasilkan gol buat Marko Simic, sebelum dua gol lagi ditambah oleh Macan Kemayoran tatkala Tampines hanya berupaya mengutip satu lagi gol sahaja.

Kemenangan itu menyaksikan Persija menggunguli kumpulannya. Kejayaan salah satu wakil Asia Tenggara itu wajar dibanggakan, namun masih ada perkara yang perlu diketahui. Penyerang utama mereka, Super Simic, adalah penyerang paling berbisa di pentas Piala AFC ketika ini. Jaringan ketika bertemu Tampines menjadikan jumlah keseluruhan kepada lapan, sekaligus melepasi catatan yang diraih pemain Ceres Negros, Bienvenido Maranon. Sebelum aksi terakhir itu, kedua-dua pemain ini berkongsi tujuh gol.

Ketika perlawanan pertama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Stefano Cugurra Teco tidak membawa Simic kerana masih fokus kepada aksi Piala Presiden 2018. Simic hanya diturunkan dalam aksi kedua, menentang Tampines. Di Stadium Gelora Bung Karno, Super Simic mengganas dengan ledakan hatrik dalam perlawanan tersebut.

JDT tampak menjadi lawan yang disukai Simic. Dalam aksi kali kedua antara kedua pasukan di Malaysia, dia bukan sekadar meledak hatrik tetapi mengutip empat gol. Apa yang menarik, jika JDT menjadi lubuk gol buat Simic, Song Lam Nghe An menjadi pasukan yang gagal ditembusi oleh penggempur dari Croatia ini. Dalam dua pertemuan, Simic gagal mengutip gol, termasuk ketika di laman sendiri.

Kutipan lapan gol tentunya masih boleh ditambah. Simic berpeluang untuk muncul selaku penyerang paling prolifik di saingan Piala AFC selepas diundi bertemu Ceres Negros di pusingan seterusnya. Jadi, kita bakal menyaksikan sama ada Simic atau Bienvido Maranon yang akan bergelar penyerang terbanyak di Piala AFC.