Luar Negara Eropah

Pengurus baru Arsenal hanya akan diberikan 50 juta pound untuk berbelanja

Selepas mengumumkan pengunduran Arsene Wenger pada hujung musim ini, Arsenal masih mencari pengganti buat pengendali legenda itu. Namun, sudah ada perkhabaran buruk buat pengurus baru. Individu tersebut hanya akan menerima dana berjumlah 50 juta Pound pada musim depan untuk membentuk pasukan.

Menurut laporan daripada Telegraph, had penggunaan wang yang begitu minimum terpaksa dilakukan ekoran langkah Arsenal yang dilihat begitu aktif dalam beberapa jendela perpindahan terakhir serta kenaikan gaji yang mendadak dalam kontrak bary sesetengah pemain.

Ketika jendela perpindahan musim panas dan luruh yang lalu, The Gunners telah memecahkan rekod perpindahan kelab apabila mendapatkan Alexandre Lacazette serta Pierre-Emerick Aubameyang. Malah, mereka juga berbelanja besar sewaktu membawa masuk Shkodran Mustafi dan Granit Xhaka pada musim panas lalu.

Selain pembelian mahal, Arsenal juga baru saja memberikan kontrak bagi pemain-pemainnya dengan gaji yang besar, seperti Mesut Özil dan Henrikh Mkhitaryan. Kontrak perancang dari Jerman ini dilaporkan mencecah 350 ribu Pound seminggu, menjadikannya pemain dengan gaji termahal disepanjang sejarah Arsenal.

Mkhitaryan, yang datang sebagai pengganti kepada Alexis Sanchez, juga dibayar mahal oleh pihak pengurusan Arsenal. Kapten skuad kebangsaan Armenia ini menerima gaji sehingga 180 ribu Pound seminggu, membuatkannya tersenarai dalam kelompok pemain bergaji paling tinggi di Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, Arsenal dilihat tidak begitu terdesak untuk mendapatkan pemain baru dengan harga mahal. Ketika ini, mereka sudah memiliki skuad yang cukup bagus untuk bersaing di England. Namun, mereka tentunya mahu membawa masuk muka baru, terutama di posisi bek tengah, penjaga gol, dan pemain tengah. Pertahanan tengah terutamanya, ia tampak satu posisi yang tidak cukup ampuh, lebih-lebih lagi apabila Per Mertesacker bakal bersara pada akhir musim ini.

Kehadiran Sven Mislintat, pencari bakat terkenal di Borussia Dortmund, tentunya bakal membuatkan tugas pengurus baru lebih mudah. Mislintat juga dikenali dengan kemampuan mendapatkan pemain berbakat dengan harga yang murah.

Dalam aspek lain, pengendali baru the Gunners juga berdepan tugas lain, iaitu memperbaharui kontrak beberapa pemain seperti Aaron Ramsey, Petr Cech dan Danny Welbeck. Ketiga-tiga pemain yang disebutkan bakal mengakhiri kontrak pada hujung musim depan.

Tidak kira berapa jumlah dana yang diberikan, tanggungjawab yang diterima pengurus baru apabila menggantikan Arsene Wenger nanti tetap akan dilihat sebagai satu penghormatan buat mereka.