Luar Negara Asia

Kelab liga Scotland tawar kontrak 3 tahun kepada penjaga gol muda India

Liga Scotland sebelum ini telah menjadi medan untuk beberapa pemain Asia menunjukkan bakat mereka. Pemain seperti Shunsuke Nakamura dan Ki Sung-yeung antara nama yang menyerlah.

Terbaru, penjaga gol muda dari India, Dheeraj Singh telah ditawarkan kontrak tiga tahun oleh kelab Liga Scotland, Motherwell FC.

Motherwell tertarik dengan kebolehan Dheeraj selepas aksi hebatnya untuk pasukan bawah 17 tahun India dan pasukan Indian Arrows.

Namun, semuanya bergantung jika Dheeraj berjaya memperoleh permit kerja UK atau tidak .

Pemain berusia 17 tahun ini telah mula berlatih bersama Motherwell FC sejak Februari lalu dan telah meyakinkan pasukan kejurulatihan dan pihak pengurusan untuk menawarkan kontrak jangka masa panjang kepadanya.

Jika berjaya, Dheeraj akan menjadi pemain India kedua beraksi di Liga Scotland selepas Mohammed Salim yang beraksi untuk Celtic pada tahun 1936.

India pernah mempunyai beberapa pemain yang beraksi di Eropah seperti Baichung Bhutia (Bury, England) , Sunil Chhetri (Sporting Lisbon B, Portugal), Subrata Pal (FC Vestsjælland, Denmark) dan ramai lagi.

Dheeraj menunjukkan aksi cemerlang untuk India di Piala Dunia bawah 17 tahun yang berlangsung tahun lalu sebelum terus mengekalkan prestasi cemerlang bersama skuad pembangunan India, Indian Arrows di Liga India.