Perjalanan Johor Darul Ta’zim di pentas Piala AFC tahun ini telah pun tamat, biarpun mereka berjaya meraih kemenangan 3-2 ke atas Song Lam Nghe An di Johor Bharu malam ini.
Bintang muda JDT, Safawi Rasid membuka tirai jaringan pada minit ke-36, sebelum bekas penyerang Kedah, Syafiq Ahmad meledakkan gol kedua mereka hanya dua minit kemudian.
Namun, Song Lam tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit semula. Tiga minit selepas jaringan Syafiq Ahmad, Nguyen Viet mengurangkan defisit buat pasukan Vietnam itu. Dan ketika masa tambahan babak pertama, Ho Tuan Tai sempat menyamakan kedudukan dengan tandukan yang cantik.
Skuad Raul Longhi meningkatkan intensiti perlawanan pada babak kedua, dan akhirnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-66. Kapten pasukan, Safiq Rahim berjaya menyudahkan penalti tersebut dengan cantik untuk membantu JDT meraih tiga mata, dan sekaligus menamatkan kempen Piala AFC mereka untuk tahun ini dengan nada yang bermaruah.
Kemenangan ini bermakna JDT berjaya menyamakan jumlah mata yang diperolehi oleh Song Lam setakat ini, iaitu 10 mata. Namun, kelebihan jaringan Song Lam bermakna pasukan Vietnam itu kekal di tangga kedua Kumpulan H.
Manakala, Persija Jakarta pula berjaya mara ke peringkat kalah mati selaku juara Kumpulan H, selepas menewaskan Tampines Rovers 4-2 di Stadium Jalan Besar malam ini.