Liga Super Malaysia

TMJ tinggalkan JDT kalau pasukan gagal tunjuk prestasi baik?

“Jika prestasi tidak meningkat, saya akan letakkan jawatan.”

Itulah ungkapan yang diluahkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada hari ini.

Kenyataan ini sedikit sebanyak menggusarkan penyokong JDT yang risau TMJ akan meninggalkan pasukan.

“Saya akan pulang esok hari. Bukan sahaja pasukan akan berubah tetapi cuaca juga akan berubah. Tidak percaya? Kita lihat nanti.

“Baru baru ini saya telah menandatangani dua pemain baru kami (JDT). Pada bulan Mei nanti JDT akan menjadi sebuah pasukan yang berbeza. Jikalau prestasi pasukan tidak meningkat selepas ini sepertimana yang saya yakin, saya akan lepaskan segala-galanya yang berkaitan dengan bola sepak untuk selama-lamanya. Ini kerana saya yakin mereka akan berikan persembahan terbaik.”

Mungkin ini sekadar satu permainan psikologi daripada TMJ buat pemain dan juga pihak lawan JDT.

Musim ini JDT menunjukkan aksi kurang memberangsangkan apabila terkeluar daripada saingan Piala FA dan beraksi hambar dalam saingan Piala AFC.

Bagi Liga Super pula, JDT diberi saingan hangat oleh pasukan-pasukan seperti PKNS, Pahang, Terengganu dan Perak.

Pelbagai isu melanda JDT musim ini dan yang paling menjadi sebutan adalah apabila pemain import mereka, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel pasukan sebelum perlawanan menentang Tampines Rovers di Singapura.