Malaysia Liga Super Malaysia

Ini luahan hati bekas jurulatih Kuantan selepas melihat nasib mereka musim ini

Jurulatih PDRM, Zulhamizan Zakaria sepatutnya berasa gembira apabila pasukannya dihadiahkan kemenangan percuma 3-0 disebabkan pasukan Kuantan FA tidak hadir dalam perlawanan tersebut.

Katanya, hatinya tersentuh lagi-lagi apabila pasukan yang tidak hadir itu merupakan bekas pasukan yang dikendalikannya pada musim lalu.

“Sepatutnya, liga kita semakin ke hadapan, tetapi bila terjadi perkara seperti ini, seolah-olah menunjukkan kita semakin ke belakang.

“Saya sangat bersimpati dengan nasib Kuantan FA yang berterusan menjadi mangsa pihak pengurusan.

“Bayangkan ada pemain di pasukan itu yang tidak menerima gaji selama 11 bulan pada musim lalu, bila di bawa ke musim ini tergantung lagi tiga bulan dan itu menjadikan 15 bulan mereka tidak menerima bayaran.

“Memang sedih, tetapi apa boleh cakap, pengurusan yang ada sekarang hutangnya semakin menggunung akibat gagal melunaskan hutang-hutang lalu,” katanya kepada Berita Harian.

Justeru, beliau berharap pihak seperti Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat melakukan pemantauan lebih terperinci terhadap semua pasukan bertanding pada musim-musim akan datang agar nasib pemain terus terbela.

“Nak suruh MFL bersikap tegas pun, bagi saya itu bukan perkataan yang sepatutnya. Tapi mungkin mereka perlu lebih memantau kewangan setiap pasukan yang bertanding agar tidak lagi berlaku kejadian seperti ini.

“Sebab pada akhirnya nanti, masalah ini akan menjejaskan nama baik liga kita sendiri.

“Kepada pemain dan pegawai Kuantan FA, saya berharap mereka akan terus tabah dan semoga mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.