Malaysia Liga Super Malaysia

Saya sedia kembali bantu pasukan Kelantan- Tan Sri Annuar Musa

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa hari ini menzahirkan hasrat mahu membantu pasukan Kelantan terutamanya menyalurkan dana bagi mendapatkan pemain import baharu dalam jendela perpindahan kedua pada bulan hadapan.

Hasrat itu dibuat berdasarkan prestasi pemain import Kelantan ketika ini yang tidak memuaskan hingga menyebabkan pasukan Pantai Timur itu terjerumus ke tangga kedua tercorot dalam Liga Super.

Katanya, beliau akan terus memberikan sokongan kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan yang berhempas pulas menguruskan pasukan ketika ini.

“Kepada presiden dan juga KAFA, kita mesti terus beri sokongan. Tolong buat yang terbaik untuk The Red Warriors.

“Jangan lepaskan peluang dalam jendela perpindahan bulan depan. Perkasakan pasukan dengan pemain import yang berkualiti tinggi.

“Saya sedia bantu termasuk dari segi kewangan untuk membawa import terbaik Kelantan jadi bangkit dan kembalikan kehebatanmu TRW,” katanya dalam laman Facebook peribadinya.

Kelantan berjaya mencuri satu mata pada minit-minit terakhir hasil jaringan Nik Akif Syahiran Nik Mat menentang Negeri Sembilan yang berkesudahan seri 1-1 semalam.

Keputusan seri itu cukup berharga buat Kelantan setelah sekadar mencatat satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan dalam lima perlawanan sebelum ini yang meletakkan pasukan itu di tangga ke-11 dalam saingan liga.

Kedudukan tercorot liga juga memaksa Kelantan menukar jurulatih Sathit Bensoh dan digantikan dengan Yusri Che Lah sebelum melantik Fajr Ibrahim sebagai jurulatih baharu.