Sporting Kansas telah secara rasmi menandantangani pemain berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal sebagai pemain ‘homegrown’ bagi memperkuat skuad Major League Soccer untuk dua tahun seterusnya.
Sebagai produk akademi Sporting Kansas, Wan Kuzain telah menandatangani kontrak dua tahun bersama pasukan senior, dengan opsyen untuk melanjutkan kontrak tersebut sehingga 2021 dan 2022.
“Kuzain merupakan pemain yang diasah melalui akademi kita dan dia berjaya menunjukkan peningkatan yang cemerlang dalam masa yang singkat,” kata pengurus Sporting KC, Peter Vermes.
“Dia cukup memahami peranannya dalam falsafah bolasepak Sporting KC dan saya yakin bahawa dia layak menerima peluang ini. Sebagai seorang pemuda dengan sikap dan mentaliti yang positif, Kuzain mempunyai kualiti-kualiti yang kami mewakili sebagai sebuah kelab. Dia mempunyai masa depan yang cukup cerah,” tambah Peter.
Kuzain memulakan kariernya bersama akademi Sporting KC, sebelum menyertai skuad Swope Park Rangers, sebuah pasukan yang berkait rapat dengan Sporting KC, dan bermain di pentas United Soccer League (USL).
Bersama Swope Park Rangers, Kuzain berjaya memenangi kejuaraan Western Conference, selain turut mencatat rekod 91.3 peratus dari segi ketepatan hantaran. Persembahannya bersama Swope akhirnya meyakinkan pihak pengurusan Sporting KC untuk menawarkan kontrak profesional MLS dan Kuzain cukup teruja dengan peluang ini.
“Saya cukup teruja dan bersyukur untuk peluang ini bersama Sporting KC. Ini adalah suatu perkara yang setiap pemain muda idamkan. Saya gembira untuk mengambil langkah seterusnya bersama Sporting KC, selepas bermain untuk akademu dan juga Swope Park Rangers. Saya bukan sahaja mewakili diri sendiri, saya turut mewakili setiap jurulatih dan staf di akademi,” kata Wan Kuzain.
Pemain kacukan Malaysia-Amerika Syarikat ini pernah dipanggil untuk sesi latihan skuad B-17 tahun USA pada tahun 2013 dan 2014, selain turut menjalani sesi latihan bersama skuad remaja Feyenoord di Belanda pada tahun 2015.