Luar Negara Eropah

Tribe Nostalgia: Nwankwo Kanu ibarat ahli sihir yang sering membuatkan orang terpegun

Selamat datang ke Tribe Nostalgia, di mana kami akan menampilkan kisah pemain-pemain bolasepak yang berstatus lagenda sepanjang zaman, setiap minggu!

Terdapat permainan dalam bola sepak yang tidak dapat disaksikan di laman Youtube dan kewujudannya hampir tidak dipercayai. Ketika Sukan Olimpik 1996, Brazil telah memiliki pasukan hebat yang melangkah ke separuh akhir, dimana mereka telah dibarisi barisan penyerang terhandal yang pernah disaksikan dalam dunia bola sepak. Masalah yang mereka hadapi ketika itu adalah mereka berdepan Nigeria. Lebih spesifik, mereka berdepan Nwankwo Kanu.

Jangan salah anggap. Nigeria bukan sebuah pasukan yang berteraskan kehebatan seorang pemain, lebih daripada Avengers mengharapkan Hulk untuk melakukan segala kerja. Namun, jika Nigeria adalah Avengers — seperti Jay-Jay Okocha yang bertindak sebagai Captain America dan Victor Ikpeba sebagai Hawkeye — Kanu sudah pasti diperlukan ketika mereka mengharapkan seseorang untuk memusnahkan lawan.

Kanu bukan seperti Hulk, mengharapkan fizikal semata-mata dan persamaan yang ada hanyalah tampak merbahaya dengan tubuh badan atau pakaian yang berwarna hijau. Bagaimanapun, aksi di Atlanta pada waktu itu, dia bertindak seperti Bruce Banner yang sedang marah. Nigeria bangkit menentang skuad yang dibarisi Dida, Roberto Carlos, Aldair, Flavio Concecaio, Bebeto, Savio, Juninho, Rivaldo dan Ronaldo. Ya, Ronaldo. Aksi yang hebat kedua-dua pasukan menyaksikan mereka menang dengan keputusan 4-3.

Mereka menang kerana Kanu yang masuk di lewat permainan dengan perwatakan seperti di tahap tertinggi seorang wira dan tidak pernah dilihat sejak Samwise Gamgee mendaki di atas batu-batu pada Mount Doom. Kanu menjaringkan dua gol tatkala Nigeria ketinggalan 3-2. Buat pertama kali, dia menyelamatkan pasukannya dengan jaringan penyamaan selepas menyungkit bola sebelum melepaskan sepakan voli ke dalam kotak penalti yang sesak menuju ke pintu gol. Kemudian, dia mencipta salah satu detik paling ajaib yang pernah disaksikan dalam dunia sukan (cukup dengan cara dia meraikannya).

Jaringan itu menjadi gol kemenangan, atau jaringan emas yang sukar untuk diperjelaskan. Kanu melambungkan bola ke depan untuk membuka laluan buat Ikpeba, namun ia gagal menemui sasaran sebelum melantun semula kepadanya. Kanu memilih untuk mengawal bola, membawanya ke bahagian tengah kawasan depan gawang sebelum melepaskan rembatan rendah menuju ke penjuru gol melepasi kawalan Dida. Dia meraikannya bersama rakan sepasukan dan merayakannya seperti seekor ayam kehausan yang menjumpai sebotol vodka.

Kesan perlawanan itu telah membentuk Kanu, seorang pemain bola sepak yang amat tegas. Dia memiliki persamaan seperti Ronaldinho, seorang lagi pemain yang sering menyumbang kepada keputusan akhir dalam setiap aksi. Ketika berada di kemuncak prestasi, kehebatan Kanu sama seperti Ronaldinho, tidak dapat dinafikan. Satu kesilapan mampu digunakan sebaiknya oleh Kanu, walaupun penjaga gol itu sehebat Peter Schmeichhel. Dalam satu aksi Liga Juara-Juara Eropah antara Arsenal dan Deportivo La Coruna, Kanu telah melakukan pergerakan ke arah pintu gol dan lenggok badannya telah membuatkan penjaga gol tertipu walaupun dia langsung tidak menyentuh bola, sekaligus tercipta satu situasi yang hanya boleh anda saksikan daripada Lionel Messi ketika ini.

Seperti Andres Iniesta, Kanu tidak kelihatan seperti seorang yang dilahirkan untuk bermain bolasepak. Iniesta tampak seperti seorang penjual insurans yang tersalah jalan dalam laluan untuk pulang dan menikmati aksi di Camp Nou manakala Kanu sering kelihatan tidak stabil di sebalik tubuh yang kurus, membuatkan jersinya sentiasa melayang-layang ketika melakukan larian. Namun, faktor itu yang membuatkannya muncul sebagai pemain yang luar biasa. Dia hampir mengalami masalah jantung yang serius tetapi akhirnya mengetuai skuad kebangsaan selama lebih satu dekad sehingga ke penghujung usia 30 an. Dalam perjalanan kariernya yang gemilang, dia merupakan tonggak utama serta layak digelar legenda tidak kira ketika bersama Portsmouth atau Ajax.

Terdapat sesuatu yang sering difikirkan tentang Kanu. ia bukan tentang tindakannya yang sering bergerak dari sebuah kelab ke kelab yang lain tetapi setiap tempat yang disertai akan menikmati aksi hebatnya dan dia meninggalkan memori indah buat skuad tersebut sebelum berhijrah ke tempat lain. Untuk lebih difahami, Kanu adalah seperti Gandalf, seorang ahli sihir tua yang sentiasa membuatkan orang ramai terpegun, dalam dunia bola sepak. Apabila kariernya berakhir, dunia bolasepak jelas kehilangan sebuah ikon yang cukup unik.

Oleh Musa Okwonga
(www.tifofootball.com)