Malaysia Kolum

Pasca Piala AFF 2010: Filipina terus maju, Malaysia semakin tertinggal

Aku masih ingat pada tahun 2010, tahun di mana Malaysia akhirnya menjuarai Piala AFF Suzuki. Selain daripada kejayaan Malaysia ketika itu, satu lagi negara yang menarik perhatian aku adalah Filipina.

Filipina ketika itu perlu melalui pusingan kelayakan untuk melayakkan diri ke Piala AFF Suzuki. Bersama Laos yang turut layak menerusi pusingan kelayakan, tidak ramai yang memandang tinggi keupayaan Filipina.

Pada tahun 2005, Filipina menyedari pertalian darah dua pemain dari akademi Chelsea yang juga merupakan adik beradik. Phil dan James Younghusband ketika itu membuka laluan bagi lebih ramai pemain berdarah Filipina untuk mewakili The Azkals.

Kembali ke 2010, The Azkals mencipta kejutan apabila tidak tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan mereka, termasuk menewaskan juara bertahan, Vietnam di tempat sendiri untuk melayakkan diri ke separuh akhir. Di separuh akhir, mereka bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno dua kali kerana kekurangan kemudahan bolasepak di Filipina.

Ketika itu, ada rasa sedikit kagum melihat kehebatan Filipina. Mereka dianggap pasukan kecil yang bermain di luar keupayaan biasa mereka. Ketika itu aku berfikir, Filipina mungkin boleh memberi cabaran kepada pasukan di Asia Tenggara dan tidak lebih dari itu.

Maju ke 27 Mac 2018, Filipina mencipta sejarah. Kebangkitan menewaskan Tajikistan 2-1 telah membantu pasukan yang sukan bolasepak bukan sukan utama negara mereka untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit. Mereka juga layak sebagai juara kumpulan mereka, mengatasi Tajikistan, Yemen dan Nepal.

Filipina juga berjaya menang dan seri menentang Korea Utara, suatu perkara yang tidak dapat dilakukan oleh Malaysia. Mereka juga menewaskan Bahrain yang berada di kedudukan lebih tinggi daripada mereka dalam ranking FIFA.

Pemain-pemain Filipina juga sudah menarik perhatian kelab-kelab luar terutamanya di Asia Tenggara. Ada juga di antara mereka yang beraksi di Malaysia seperti Iain Ramsay (Felda United) dan Misagh Bahadoran (Perak).

Malaysia pula? Selepas menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, skuad Harimau Malaya terus gagal untuk mara ke Piala Asia secara merit. Kali terakhir kita menyertai Piala Asia adalah pada tahun 2007 dan itu pun sebagai tuan rumah. Apa sudah jadi?

Adakah kita perlu terus mengungkit kejayaan 2010 sementara Filipina terus meningkat sejak 2010? Pada tahun 2010, Filipina berada di ranking ke 149, sementara Malaysia di kedudukan ke-144. Selepas lapan tahun, kita berada di kedudukan ke-178 sementara Filipina berada di kedudukan ke-122. Masa untuk bangkit Harimau, kini Anjing Jalanan (The Azkals) sudah lebih jaguh dalam bolasepak.