Berita Asia

Taneekarn Dangda, penyerang sensasi wanita Thailand yang mengikut langkah abang

Pernah dengar akan nama Teerasil Dangda? Pemain berasal dari Thailand yang kini sedang menikmati aksi bola sepak di Jepun bersama Sanfrecce Hiroshima. Teerasil boleh dikatakan sebagai salah seorang penyerang terbaik di Asia Tenggara. Sebelum berhijrah ke Jepun, dia sempat menampilkan aksi hebat di negaranya sendiri bersama Muangthong United.

Empat gelaran Liga Thailand serta beberapa penghargaan individu telah diraih ketika beraksi di negara Gajah Putih. Selain Asia, dia juga pernah menikmati permainan di Eropah ketika mengikuti sesi latihan di Manchester City dan mengharungi kempen liga Sepanyol bersama Almeria.

Itu perihal Teerasil. Kami tidak mahu membicarakan tentangnya tetapi mahu mengulas tentang adik perempuannya, Taneekarn Dangda.

Teneekarn juga sama seperti abangnya, seorang penyerang. Adik bongsu Teerasil ini merupakan salah seorang pemain skuad kebangsaan wanita Thailand. Walaupun kini bergelar pemain bola sepak, sebelum ini dia memilih haluan lain sebagai karier.

Sebelum menjadikan bola sepak sebagai pekerjaan utama, dia adalah bekas pelari olahraga. Dia juga pernah menjalinkan hubungan cinta bersama seorang atlet olahraga yang pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA, Jirapong Meenapra. Selain bergelar atlet, dia juga pernah muncul sebagai seorang model dan menyertai pertandingan Supermodel Thailand.

Selepas mewakili skuad wanita Thailand, Taneekarn sempat merasai saingan Eropah apabila menyertai sebuah kelab Sweden, Ostersunds DFF, bersama rakan sepasukan, Thanatta Chawong.

Prestasi Taneeakrn bersama pasukan Thailand juga tidak kurang hebat. Dia pernah menghadiahkan pingat emas buat pasukannya ketika Sukan SEA 2013 dan menjuarai dua edisi Piala AFF Wanita pada tahun 2011 dan 2015.

Dia juga membarisi skuad Gajah Putih ketika tampil buat pertama kali dalam saingan Piala Dunia Wanita. Jelas sekali darah pemain bola sepak mengalir dalam dirinya, hasil daripada keluarga Dangda kerana ayahnya juga bekas pemain bola sepak profesional suatu ketika dahulu.