Luar Negara Berita

Bintang Southampton puji kehebatan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin

Mungkinkah bintang Thailand, Chanathip Songkrasin akan mengikut jejak langkah rakan sepasukannya, Kawin Thamsatchanan beraksi di Eropah?

Mungkin ianya tidak mustahil selepas pemain Hokkaido Consadole Sapporo itu menarik perhatian dua pemain Liga Perdana Inggeris ketika beraksi untuk negaranya di Kejohanan King’s Cup minggu lalu.

Pemain Southampton, Mario Lemina telah mengakui kehebatan Chanathip selepas negaranya, Gabon tewas kepada Thailand menerusi penentuan sepakan penalti.

“Kecil jika diukur dari segi saiz, tetapi mempunyai bakat yang cukup hebat Jay Chanatip,” tulis bekas pemain Juventus itu di laman Twitter peribadinya.

Sebelum ini, rakan sepasukan Lemina di Southampton, Maya Yoshida juga pernah memuji kehebatan Chanathip ketika Jepun menang ke atas Thailand pada Mac tahun lalu.

Yoshida turut mengucapkan selamat berjaya kepada Chanathip yang ketika itu akan berhijrah ke Consadole Sapporo.

Selain dua pemain ini, ketua jurulatih Slovakia turut memuji pemain yang terkenal dengan jolokan Messi Thailand ini.

“Pemain Thailand yang menarik perhatian saya adalah pemain dengan jersi nombor 18 (Chanathip) dan nombor 10 (Teerasil Dangda). Saya rasa mereka pemain yang bagus dan mempunyai masa depan yang cerah.”

Biarpun gagal mempertahan kejuaraan Kings Cup selepas tewas kepada Slovakia, tetapi pemain-pemain Thailand terutamanya Chanathip sudah membuktikan mereka mampu bermain menentang pemain-pemain hebat.

Dengan persembahan bagus Chanathip di Liga Jepun, mungkin tidak lama lagi dia akan beraksi di Eropah. Siapa tahu, mungkin tahun depan dia akan satu pasukan bersama Mario Lemina dan Maya Yoshida?