“Saya pernah duduk di kerusi ini dua kali di saingan Liga Juara-Juara Eropah dan saya berjaya menyingkirkan Manchester United di Old Trafford. Jadi, saya rasa perkara ini (kekalahan di tangan Sevilla) bukan suatu perkara yang baru untuk kelab ini.”
Itu sepatutnya menjadi ayat terakhir Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih Manchester United. Selepas menyaksikan pasukannya bermain menggunakan corak taktikal yang membosankan, sebelum tewas 2-1 di tangan Sevilla malam semalam, Mourinho memilih untuk menyindir kelabnya. Jika ada segelintir penyokong United yang masih berpihak kepada Mourinho, sudah pasti majoriti penyokong tersebut muak dengan sikapnya selepas perlawanan malam semalam.
Hakikatnya adalah, penyokong United tahu akan sejarah Jose Mourinho. Sepanjang kariernya, Mourinho menggunakan corak taktikal yang negatif dan bosan. Tetapi, penyokong United juga menerima berita Mourinho tatkala kelab mereka dibimbing oleh Louis van Gaal – seorang lagi individu yang menggunakan falsafah bolasepak yang konservatif. Pada waktu itu, penyokong United cukup gembira untuk mendengar spekulasi Mourinho, kerana mereka letih dengan karenah Van Gaal.
Tetapi dari hari pertama Mourinho menyertai United, ramai yang memberi amaran, terutamanya penyokong Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid. Penyokong United disuruh berhenti memikirkan tentang era Sir Alex Ferguson, mereka disuruh melupakan corak bolasepak positif yang sebelum ini berada dalam DNA United. “Mourinho mungkin membosankan, tetapi beliau akan berjaya memenangi piala,” kata kebanyakkan penyokong kelab-kelab yang pernah melantik Mourinho sebagai ketua jurulatih.
Dia berjaya memenangi tiga piala pada musim pertamanya di Old Trafford, termasuk Europa League, yang meletakkan United di pentas Liga Juara-Juara Asia sekali lagi. Pencapaian tersebut melindungi Mourinho daripada kritikan kerana corak permainan skuad Red Devils sepanjang musim tersebut cukup hambar dan membosankan.
Namun, sinaran harapan kembali mencerahkan Old Trafford pada awal musim ini. Romelu Lukaku dibawa masuk untuk memperkuatkan jentera serangan, dan United berjaya membuka tirai EPL dengan cukup positif, sehingga perlawanan menentang Liverpool pada bulan Oktober. Skuad Mourinho menjaringkan 21 gol dalam tujuh perlawanan liga pertama, dan tahap keyakinan mereka pada ketika itu cukup tinggi. Liverpool pula memasuki perlawanan tersebut dengan momentum yang mengecewakan dan juga rekod semasa yang tidak begitu positif – skuad Klopp tewas kepada Leicester City dan Manchester City dalam minggu-minggu sebelum perlawanan tersebut.
Pelik sekali, Mourinho membuat keputusan untuk pergi ke Anfield dan mengarah pemainnya untuk bermain dengan negatif dan defensif. Dari perspektif jangka masa pendek, United berjaya mencuri satu mata di tempat lawan selepas perlawanan berakhir 0-0. Tetapi dari perspektif jangka masa panjang, United gagal mencari momentum awal musim mereka, selepas perlawanan tersebut.
Dalam minggu-minggu selepas itu, Lukaku mengalami kemarau gol manakala United mengalami kekalahan di tangan Huddersfield, Chelsea dan juga Basel di saingan Liga Juara-Juara. Mereka ada bangkit menewaskan Tottenham Hotspur dan Newcastle tersebut, tetapi kedua-dua kemenangan itu gagal mempamerkan corak yang ditunjukkan oleh anak buah Mourinho pada awal musim. Perlawanan menentang Liverpool itu boleh dikatakan ‘turning point’ yang memberi peluang kepada Manchester City untuk mula mendominasi saingan liga. Dalam masa 90 minit, Mourinho berjaya membunuh momentum United.
Situasi ini berlaku sekali lagi malam semalam. Atas kertas, United jauh lebih kuat berbanding Sevilla, dan mereka turut mempunyai momentum, selepas menewaskan Liverpool 2-1 pada hujung minggu lepas. Tetapi keputusan Mourinho untuk meletakkan dua pemain United yang paling konsisten semenjak beberapa minggu lepas, Scott McTominay dan Juan Mata, di atas bangku simpanan meleburkan harapan mereka sebelum wisel permulaan dibunyikan. Skuad Mourinho terlalu konservatif, terlalu negative dan gagal menunjukkan inisiatif di atas padang. 90 minit kemudian, mereka sah tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah.
Mourinho telah membelanjakan lebih 300 juta pounds dalam 18 bulan di Old Trafford. Beliau diberi ruang untuk melontarkan kritikan dan menghancurkan keyakinan beberapa pemain di dalam skuad United. Malah, para penyokong dan pihak pengurusan kelab juga turut mencuba untuk menerima corak taktikal negatif yang digunakan oleh Mourinho selama 18 bulan ini. Tetapi semalam, selepas peminat United terpaksa menharungi antara perlawanan yang paling mengecewakan sejak Sir Alex bersara, Mourinho masih enggan melapangkan dada dan meminta maaf untuk kekalahan tersebut.
Sebaliknya, dia membuat keputusan untuk menyindir dan mengutuk rekod kelabnya di peringkat Eropah. Jose Mourinho, tiada lagi alasan untukmu di Old Trafford.