Kuala Lumpur berjaya mengutip kemenangan kedua mereka di pentas Liga Super selepas menewaskan Kedah 4-3 dalam perlawanan yang cukup dramatik di Stadium Cheras malam ini.
Pasukan tuan rumah hanya mengambil tiga minit untuk membuka tirai jaringan, apabila Zaquan Adha menewaskan Ifwat dengan cubaan yang cukup padu. Namun, Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10. Liridon Krasniqi membuat hantaran cantik kepada Pablo Pallares, yang menanduk masuk bola ke dalam gawang KL untuk menjadikan skor 1-1.
Lima minit selepas babak kedua bermula, Liridon Krasniqi meletakkan Kedah 2-1 di hadapan, selepas percubaan Rizal Ghazali terkena tiang. Walau bagaimanapun, KL dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60, selepas Zaquan dijatuhkan oleh Khairul Helmi. Guilherme de Paula menjaringkan sepakan penalti tersebut dengan cukup efektif untuk menjadikan skor perlawanan 2-2.
20 minit kemudian, Kuala Lumpur menjaringkan gol ketiga mereka. Syazwan Andik membuat hantaran lintang yang cantik daripada sayap kiri, dan percubaan Paulo Josue melepasi Ifwat dengan cukup muda untuk memberikan kelebihan 3-2 kepada skuad Fabio Magrao.
Anak buah Marcote tidak berputus asa, dan terus menyerang untuk mencari gol penyamaan dan gol tersebut akhirnya tiba pada ke-91, melalui gol kedua Pablo Pallares. Percubaan pemain yang berasal daripada Sepanyol itu menembusi gawang KL, selepas sepakan Akhyar terkena tiang.
Jika gol Pallares tidak cukup dramatik, KL sempat menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94. Percubaan Guilherme tidak ditangkap dengan kemas oleh Ifwat, sekaligus memberi peluang kepada Ashri Chuchu untuk meledak dan menghadiahkan tiga mata berharga kepada Kuala Lumpur.
Kemenangan ini bermakna Negeri Sembilan akan mengambil alih posisi KL sebagai pasukan tercorot di Liga Super, selepas mereka tewas 0-4 di tangan Pahang malam ini.