Dari Paroi ke Saitama?
Pada bulan Mac 2016, skuad Negeri Sembilan, yang baru sahaja dirombak beberapa bulan sebelum itu, berkunjung ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos untuk berdepan dengan Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA.
Skuad Jang, yang masih beraksi di pentas Liga Premier pada ketika itu, memilih resipi ‘Australia’ untuk musim tersebut – Gary Phillips dilantik menjadi ketua jurulatih manakala kuota pemain import mereka dipenuhi dengan empat individu yang dibawa masuk daripada A-League. Taylor Reagan menjadi kapten mereka di bahagian pertahanan, manakala Joel Chianese dan Alex Smith menjadi sandaran mereka di bahagian tengah.
Tetapi, pembelian terbaik mereka untuk musim itu jelas merupakan Andrew Nabbout; pemain kacukan Australia-Lebanon yang sebelum itu bermain untuk Melbourne Victory. Dan ketika walaupun Negeri tewas 1-4 di tangan JDT malam itu, Nabbout tampil dengan aksi yang cukup cemerlang dan berjaya menarik perhatian ramai.
Beroperasi sebagai sayap kiri dalam perlawanan tersebut, Nabbout memaksa Kunanlan bermain secara konservatif malam itu, kerana kebanyakkan serangan positif yang dilancarkan oleh Negeri, tercetus melalui larian ofensif yang dilakukan oleh Nabbout. Hasilnya? Gol tunggal Negeri Sembilan pada malam tersebut dijaringkan oleh Nabbout.
Bekas pemain Melbourne Victory itu terus mengganas di pentas Liga Premier, dan berjaya menjaringkan 9 gol dalam 14 perlawanan untuk membantu skuad Jang memberi cabaran sengit untuk takhta liga. Tetapi apabila jendela perpindahan bulan Jun dibuka, Nabbout dilepaskan oleh Negeri Sembilan, dengan alasan mahu mencari pemain import yang lebih berbisa.
Kini, hampir dua tahun selepas dia mencuri perhatian ramai di Larkin, Andrew Nabbout, yang kini bermain untuk Newcastle Jets di A-League, dikatakan menjadi sasaran utama kelab gergasi Jepun, Urawa Reds. Menurut laporan Sydney Morning Herald, pihak pengurusan Urawa Reds baru-baru ini menghubungi ejen Nabbout untuk mendapatkan gambaran kos yang diperlukan untuk membawa pemain itu ke Saitama dan mereka kini sedang bersedia untuk membuat tawaran rasmi kepada Newcastle Jets.
“Tiga minggu lepas, saya menerima panggilan daripada sebuah kelab gergasi Asia, yang berminat untuk mengetahui kos gaji dan yuran perpindahan yang diperlukan untuk menandatangani Andrew. Minggu ini pula, kami turut menerima panggilan daripada sebuah kelab di Belanda. Tetapi buat masa sekarang, kedua-dua kelab tersebut masih belum membuat tawaran rasmi,” kata ejen Nabbout, Tony Rallis.
Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa kontrak Nabbout bersama Newcastle Jets mengandungi ‘release clause’ yang berjumlah $500,000 dan Urawa hanya perlu membayar jumlah tersebut untuk mengaktifkan klausa tersebut demi membawa Nabbout ke Saitama.
Selepas dilepaskan oleh Negeri Sembilan, Nabbout kembali ke pentas A-League untuk menyertai Newcastle Jets, dan dia tidak mengambil masa yang lama untuk menunjukkan kebolehan sebenar di atas padang. Pada bulan Januari 2017, dia dinobat sebagai Pemain Terbaik A-League oleh PFA Australia, sebelum menerima Anugerah Penjaring Terbanyak untuk Newcastle Jets, dengan 8 gol sepanjang musim tersebut.
Sebelum musim 2017-2018 bermula, Nabbout dikatakan menerima tawaran daripada kelab gergasi UAE, Al Dhafra, namun Newcastle Jets menolak tawaran tersebut. Tidak lama selepas itu, Nabbout menandatangi kontrak baru bersama Jets, dan terus mempamerkan aksi cemerlang di atas padang. Setakat ini, pemain sayap itu sudah berjaya meledak 8 gol dalam 20 penampilan, untuk membantu skuad Jets menduduki posisi ke-2 di A-League buat masa ini.