Luar Negara

Usain Bolt umum sertai kelab bolasepak misteri

Pemenang pingat emas acara pecut Olimpik, Usain Bolt sememangnya seorang peminat tegar sukan bolasepak. Sudah sekian lama dia menyatakan keinginan menyertai bolasepak secara profesional.

Usain Bolt mengumumkan persaraannya selepas memenangi lapan pingat emas di Sukan Olimpik. Namun, persaraannya itu sekadar dalam acara pecut kerana pelari Jamaica ini telah mengumumkan bahawa dia sudah menyertai satu kelab bolasepak misteri!

Persis video pengumuman Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic oleh Manchester United, Bolt mengumumkan bahawa dia akan mendedahkan kelab mana yang dia sertai pada 27 Februari nanti menerusi laman Twitter peribadinya.

Bolt tidak pernah menyembunyikan keinginannya untuk menyertai kelab kesayangannya, Manchester United dan sebelum ini telah menjalani latihan dan ujian bersama Borussia Dortmund.

Adakah Bolt akan mengetuai serangan Dortmund bersama Michy Batshuayi atau bergandingan dengan Romelu Lukaku di Manchester United? Semuanya akan terjawab nanti.