“Sejarah mungkin berulang kepada siapa yang tidak belajar darinya”
Itulah kata-kata pujangga dari George Santayana suatu ketika dahulu dan nampaknya ia sesuai juga untuk bolasepak.
Pada perlawanan liga yang lalu, Jose Mourinho telah menyaksikan skuad Manchester United kendaliannya tewas 1-0 kepada Newcastle United selepas menunjukkan aksi yang hambar. Tapi apa yang menarik, pengurus United itu tetap tenang, bahkan memeluk bekas musuh ketatnya, Rafa Benitez selepas tamat perlawanan.
“Saya rasa ini antara perkara indah dalam bolasepak.” Selepas beberapa kekalahan Sir Bobby (Robson) pernah berkata kepada saya: ‘Jangan rasa terlalu sedih, fikir tentang kegembiraan pasukan lawan,” kata Mourinho dalam sidang media selepas perlawanan. “Tuhan bolasepak memihak kepada mereka.”
Perkara ini mengingatkan kepada apa yang berlaku selepas Chelsea ditendang keluar daripada Piala FA oleh Bradford pada tahun 2015 dan Mourinho menyatakan dia merasa gembira untuk pasukan League One itu walaupun pasukannya dimalukan oleh kelab bawahan.
Bia kita bercakap mengenai sejarah, nampaknya ia tidak memberi gambaran bagus kepada Anthony Martial dan Marcus Rashford. Pastinya dua penyerang muda ini mula memikirkan masa depan mereka di kelab tersebut selepas kehadiran Alexis Sanchez pada Januari lalu. Masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang spekulasi, tetapi melihat kepada bagaimana bintang Chile itu memulakan kempen di Old Trafford, ianya tidak memberi gambaran bagus.
Walaupun pernah mencuba sistem tiga pertahanan dan wingback di awal musim, Mourinho nampaknya lebih gemar menggunakan formasi 4-3-3 ata 4-2-3-1. Dalam empat perlawanannya musim ini, Sanchez bermain di sebelah kiri dalam formasi tiga serangkai di belakang Romelu Lukaku- yang biasanya diisi oleh Martial atau Rashford. Posisi Jesse Lingard di belakang penyerang nampaknya terselamat, jadi tinggal posisi di sebelah kanan.
Martial sebenarnya adalah seorang penyerang, tetapi telah beraksi di sebelah kiri sepanjang berada di United. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini dia telah menunjukkan aksi cemerlang, menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sebelum kehadiran Sanchez. Tetapi untuk perlawanan bertemu Newcastle, dia dilihat keliru ketika dimainkan di sebelah kanan.
Sejak Sanchez menyertai United, Rashford telah beraksi cuma 19 minit. Ketika ditanya dalam rancangan bolasepak Sky Sports, Thierry Henry telah menyatakan bahawa Rashford perlu berpindah jika mahu beraksi, satu pendapat yang menimbulkan kemarahan di kalangan peminat Red Devils di media sosial. Ramai antara mereka telah menyatakan bahawa Rashford telah beraksi lebih banyak perlawanan berbanding pemain lain di kelab berkenaan. Namun, hakikatnya, dia masih belum berada dalam kesebelasan utama pada tahun 2018, dan walaupun mungkin dia perlukan rehat, tetapi sukar untuk melihat Rashford kembali dalam kesebelasan utama jika melihat rekod Mourinho.
Ada banyak contoh sebelum ini mengenai bagaimana Mourinho menyingkirkan pemain muda untuk pemain bintang yang sudah siap – paling menjadi sebutan adalah Kevin De Brunye. Pemain Belgium itu masih ingat bagaimana Mourinho pernah mengumpulkan semua pemain tengah menyerangnya dalam satu sesi di Chelsea dan menyebut jumlah jaringan dan bantuan jaringan mereka – membandingkan rekod De Bruyne dengan Eden Hazard, Oscar dan Willian. De Bruyne benar-benar berang kerana dia hanya bermain dua perlawanan jika dibandingkan dengan pemain-pemain lain.
“Saya tiada statistik – dua perlawanan, apa yang anda mahukan dari saya? Saya dapat rasakan saya tidak akan bermain.”
De Bruyne berhijrah ke Wolfsburg, dinamakan pemain terbaik tahunan Bundesliga dan dalam tempoh 18 bulan, kembali ke England. Di Manchester City, dia antara tonggak utama pasukan yang sedang memecahkan pelbagai rekod dan dibentuk untuk menggunakan kelebihan De Bruyne. Ada perdebatan bahawa kedua-dua dia dan Mohamed Salah belum bersedia untuk aksi peringkat tertinggi ketika di Chelsea. Tetapi, sukar untuk kita mengiyakannya jika mereka tidak diberi peluang membuktikan kehebatan mereka.
Pemain-pemain yang menunjukkan aksi mantap untuk Mourinho seperti Arjen Robben dan Eden Hazard pun akhirnya tewas. Mourinho muak dengan kecederaan yang sering dialami Robben sementara prestasi Hazard jatuh dengan teruk di penghujung kerjaya Mourinho di Chelsea.
Satu persamaan Salah, De Bruyne, Robben dan Hazard adalah keupayaan mereka meningkat secara mendadak selepas mereka meninggalkan Mourinho dan berkerja dengan jurulatih yang mengetahui cara mendapatkan yang terbaik dari mereka.
Dengan Mourinho menandatangani kontrak baru sehingga 2020 bersama United, Rashford dan Martial pasti sudah mula memikirkan masa depan mereka dan apa yang terbaik untuk perkembangan masing-masing. Berdasarkan sejarah Mourinho, nampaknya masa depan mereka lebih cerah di tempat lain.
Oleh Connor Kelly
(www.tifofootball.com)