Kelantan dikatakan telah melengkapkan perpindahan penyerang Lubnan, Mohammed Ghaddar untuk memperkuat pasukan mereka selepas hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan pertama mereka.
Menurut sumber yang rapat dengan pemain tersebut, perpindahan ini berjaya dilengkapkan sebelum jendela perpindahan ditutup, malam semalam. Penjaring terbanyak Liga Super 2017 itu akan menggantikan pemain tengah yang berasal daripada Senegal, Morgaro Gomis.
Selain itu, presiden KAFA Bibi Ramjani turut memberi gambaran bahawa Ghaddar akan kembali menyarung jersi The Red Warriors, melalui laman Facebook rasminya hari ini.
Ini bermakna Ghaddar akan menyertai Kelantan semula buat kali keempat. Dia tiba di Kota Bharu buat kali pertama pada tahun 2012, sebelum berpindah ke Felda United pada tahun berikutnya. Ghaddar kembali menyertai Kelantan pada tahun 2014, namun kontraknya ditamatkan hanya empat bulan kemudian.
Penyerang skuad kebangsaan Lubnan itu berpindah semula ke Kota Bharu tahun lepas, dan memberi impak yang cukup positif di atas padang. Dia berjaya menjaringkan 18 gol dalam 11 perlawanan untuk Kelantan, sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’azim untuk baki musim 2017.
Untuk musim ini, Ghaddar dijangka akan digandingkan dengan bekas penyerang Persija Jakarta, Bruno Lopes dan juga bekas pemain PSM Makassar, Ferdinand Sinaga, di bahagian serangan.