Liga Super sudah kembali!
Semenjak dua hari lepas, penyokong bolasepak Malaysia disajikan dengan pelbagai aksi-aksi menarik daripada enam perlawanan Liga Super yang berlangsung, termasuk perlawanan Piala Sumbangsih di antara Kedah dan Johor Darul Ta’azim.
Berikut adalah rangkuman kesemua enam perlawanan Matchday 1 Liga Super yang berlangsung sepanjang dua hari lepas.
PKNP 1-0 NEGERI SEMBILAN
PKNP berjaya memulakan kempen Liga Super mereka dengan langkah yang positif selepas jaringan tunggal Keo Sokpheng membantu mereka meraih kemenangan tipis ke atas Negeri Sembilan di Stadium Batu Kawan. Kedua-dua pasukan mencipta banyak peluang sepanjang 90 minit namun gol penyerang baru PKNP yang berasal daripada Cambodia itu akhirnya menjadi faktor yang menghadiahkan tiga mata berharga kepada skuad Abu Bakar Fadzim
JOHOR DT 2-1 KEDAH
Aspirasi JDT untuk meraih gelaran MSL buat kali kelima berturut-turut menerima perangsang malam semalam selepas mereka berjaya menewaskan Kedah di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos. Meskipun Kedah membuka tirai jaringan melalui Pablo Pallares terlebih dahulu, anak buah Ulisses Morais akhirnya meraih tiga mata selepas dua gol daripada Luciano Figueroa dan Marcos Antonio.
TERENGGANU FC 2-2 PKNS
Terengganu hanya sekadar mampu seri 2-2 menentang PKNS di Kuala Terengganu malam semalam, walaupun mengawal tempo perlawanan untuk majoriti 90 minit. Kipre Tchetche menewaskan penjaga gol PKNS melalui sepakan penalti yang tepat pada minit ke-36, sebelum gol Kamal Aziz membantu PKNS menyamakan kedudukan tiga minit kemudian. Pada babak kedua, Rafael pula meletakkan PKNS 2-1 di hadapan dengan percubaan yang tepat. Namun, Tchetche hanya mengambil masa lima minit untuk menjadikan skor perlawanan 2-2, dan sekaligus membantu pasukan tuan rumah meraih satu mata.
MELAKA UNITED 2-1 KELANTAN
Melaka pula melakukan 'comeback' yang cemerlang untuk menumpaskan skuad Red Warriors di Stadium Hang Jebat malam semalam. Bruno Da Silva memberi harapan kepada penyokong Kelantan dengan jaringan seawal minit pertama, tetapi Melaka United hanya memerlukan 10 minit untuk bangkit semula melalui gol Zubovich. Jeon kemudiannya meledak pada minit ke-30 dengan gol kemenangan yang membantu Melaka meraih tiga mata berharga.
PAHANG 0-0 PERAK
Pahang dan Perak hanya mampu seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang tidak begitu menyeronokkan. Kedua-dua pasukan turun beraksi dengan kesebelasan pertama yang kuat, namun aksi yang ditunjukkan di atas padang tidak memberangsangkan. Highlight perlawanan ini adalah kepulangan Brendan Gan ke kancah bolasepak tempatan. Bekas pemain Kelantan itu akhirnya membuat penampilan rasmi pertama sejak mengalami kecederaan ACL pada September 2016.
KUALA LUMPUR 0-2 SELANGOR
Kuala Lumpur ditundukkan oleh Selangor dalam perlawanan Klang Valley Derby di Stadium Cheras malam tadi selepas Rufino Segovia muncul sebagai hero skuad Red Giants. Penyerang Sepanyol itu menjaringkan dua gol, dan menunjukkan keserasian yang baik dengan Ilham Udin untuk membantu anak buah P. Maniam menghukum kealpaan benteng pertahanan Kuala Lumpur