Penyerang muda Shahrel Fikri telah membuat keputusan untuk kekal bersama PKNP, sekaligus menamatkan khabar angin yang mengaitkan pemain itu dengan juara Liga Super Malaysia, Johor DT.
Sebelum ini, Shahrel dikatakan telah menerima tawaran daripada beberapa kelab Liga Super dan pemain yang berusia 23 tahun ini juga berkata dia mahu meninggalkan PKNP untuk menimba ilmu di kelab lain.
Namun, PKNP telah berjaya mengikat pemain itu sehingga 2020 dan Shahrel akan menjadi tonggak utama kelab dalam saingan Liga Super musim ini.
“Saya juga terkejut dengan keputusannya tetapi dengan Shahrel terus kekal, ia satu dorongan yang besar buat kelab,” kata Abu Bakar berkenaan penjaring 20 gol musim lalu itu. Mungkin dia merasakan ini adalah pilihan terbaik untuk kariernya dan dia juga sudah cukup gembira bermain di sini,” kata ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim kepada Arena Metro.
“Sepanjang dua tahun lalu, dia menjadi tonggak kepada kemaraan PKNP dari Liga FAM ke Liga Super. Dia memberi sumbangan yang amat besar kepada perkembangan kami dan saya percaya dia akan membantu kami mencapai lebih banyak kejayaan dalam musim baharu nanti,” tambah beliau.
Musim lepas, Shahrel berjaya meledak 20 gol untuk membantu PKNP meraih kedudukan ketiga di carta Liga Premier. Dia turut dinobat sebagai penyerang terbaik di majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan yang berlangsung bulan lepas.