Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa Azinee Taib akan kembali menyarung jersi Harimau Kumbang untuk kempen Liga Premier 2018.
Laman Facebook rasmi Pulau Pinang FA telah memuat naik gambar Azinee Taib menandatangani kontrak beberapa jam lepas, sekaligus menamatkan spekulasi berkenaan masa depan pemain tersebut.
Azinee memulakan kariernya bersama Johor FA, sebelum diterapkan ke dalam skuad JDT selepas revolusi TMJ bermula pada tahun 2013. Dia kemudian diturunkan ke skuad JDT II untuk musim 2014, sebelum akhirnya berpindah ke Penang pada tahun 2015.
Pemain sayap itu smemainkan peranan yang cukup penting untuk membantu Penang meraih kejuaraan Liga Premier pada tahun 2015, sekaligus merangkul slot Liga Super. Namun, Azinee membuat keputusan untuk menerima tawaran untuk menyertai JDT semula untuk musim 2016.
Selepas membantu skuad Mario Gomez memenangi Liga Super, Azinee sekali lagi diturunkan ke skuad JDT II untuk musim 2017. Pada pertengahan musim, dia dibenarkan menyertai Melaka United secara pinjaman namun pemain yang berusia 27 tahun itu gagal memikat pihak pengurusan kelab tersebut.